suria

Taman Persahabatan China-Malaysia Di Putrajaya Eratkan Hubungan Dua Hala

Aseh (kanan) menunjukkan gambar lakaran Taman Persahabatan Malaysia-China yang bercirikan elemen 'Lingnan-Styled Garden' kepada Hu Chunhua (dua, kanan) pada majlis pecah tanah dan tanam pokok di Tapak Festival Bunga dan Taman Putrajaya (FLORIA) di Presint 4 di Putrajaya, Ahad. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: 'Taman Persahabatan China-Malaysia' yang akan dibangunkan di Putrajaya bakal menjadi projek mercu tanda hubungan yang semakin kukuh antara Malaysia-China.

Dengan reka bentuk bercirikan elemen gaya Lingnan, taman seluas 0.24 hektar itu dibangunkan di tapak kekal Festival Bunga dan Taman Putrajaya merangkumi 11.7 hektar, atau lebih dikenali sebagai Floria Putrajaya, di Presint 4.

Majlis pecah tanah dan penanaman pokok hari ini disempurnakan anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) Hu Chunhua dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat.

Dua batang pokok jenis michelia alba atau cempaka putih ditanam oleh kedua-dua pemimpin sebagai simbolik kepada hubungan diplomatik serta persefahaman antara Malaysia-China. 

Michelia alba merupakan bunga rasmi bandar raya Dongguan.

Dalam ucapannya Aseh berkata, projek yang membabitkan kos RM1.5 juta yang disalurkan kerajaan China melalui Persatuan Rakyat Dongguan dijangka siap pada awal bulan Jun ini.

"Pembangunan taman ini bukan setakat menyokong aktiviti ulang tahun ke-40 jalinan hubungan dua hala, malah ia dibangunkan sebagai tempat tarikan pelancong yang dapat menambah ciri antarabangsa di Putrajaya," katanya.

Menurutnya, taman itu pastinya menjadi antara tarikan utama pengunjung pada Floria 2014 yang diadakan dari 14 hingga 22 Jun.

Menyifatkan ia sebagai taman pertama persahabatan di Putrajaya, Aseh berkata ia dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) yang mengilhamkan idea bagi mendirikan taman itu.

PPMC, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 1992 bertujuan untuk merapatkan persefahaman dan persahabatan antara Malaysia-China di peringkat rakyat.

Badan itu banyak menjalankan program dalam bidang kebudayaan, pendidikan, belia dan sukan, pelancongan serta dalam bidang ekonomi bagi mempertingkatkan hubungan antara kedua-dua negara.

Artikel Lain