suria

Peruntukan RM37 Juta Laksana Program Usahawan Belia India - Khairy

Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membangunkan program latihan keusahawanan untuk menggalakkan lebih ramai belia India menceburi bidang itu, kata menteri berkenaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, melalui peruntukan RM37 juta, pelbagai program dengan kerjasama Koperasi Usahawan India Malaysia Berhad (KUIMB) dan Yayasan Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) akan dirangka bagi tujuan itu.

"Kita akan bincang dengan koperasi berkenaan bagaimana untuk membangunkan remaja India terutamanya dalam bidang keusahawanan...kita akan adakan program-program latihan tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Usahawan 2020 (TEC2020) di sini. 

Persidangan itu, anjuran KUIMB dengan tema 'Power of Ideas', merupakan landasan untuk usahawan negara ini berkongsi ilmu dalam bidang berkenaan selain meluaskan rangkaian niaga. 

Khairy berkata, setiap program yang diwujudkan kelak akan dipantau sepenuhnya oleh KBS menerusi timbalan menteri berkenaan Datuk M. Saravanan. 

Terdahulu, dalam ucapannya Khairy berkata usahawan perlu meningkatkan inovasi dan kreativiti bagi menjadi sebuah ekosistem yang maju dan produktif.

Beliau juga meminta usahawan supaya tidak mengharapkan kerajaan menyediakan semua penyelesaian bagi permasalahan mereka. 

"Kami (kerajaan) menyediakan pembiayaan, sokongan dan galakan. Usahawan Malaysia yang perlu membangunkan ekosistem itu menerusi kerjasama satu  sama

lain untuk menjadi lebih berdaya saing dalam pasaran global," katanya.

Artikel Lain