suria

Pencemaran Batu Ferringhi: IWK Belum Kena Tindakan Undang-Undang JAS

GEORGE TOWN: Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) belum dikenakan tindakan undang-undang oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung isu pencemaran air sungai dan laut di pantai Batu Ferringhi di sini, awal Febuari lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK Datuk Ir Abdul Kadir Mohd Din berkata pihaknya hanya menerima notis bagi menambah baik loji kumbahan di Batu Ferringhi daripada JAS.

"IWK ada menerima notis daripada JAS pada 12 Feb lepas...kami sudah pun lakukannya serta merta. Kalau dahulu, kami letak staf untuk beroperasi hanya pada siang hari tetapi sekarang 24 jam sehari dan mereka bekerja mengikut syif.

"Kami tingkatkan lagi penyahjangkitan. Kami letakkan klorin untuk rawat lebih lanjut, walaupun tidak diperlukan tetapi kami buat juga kerana prihatin terhadap kawasan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Hari Terbuka Loji Olahan Kumbahan Serantau Jelutong di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua.

Pada 3 Mac lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata siasatan JAS negeri mendapati IWK antara empat pihak yang dikenal pasti sebagai penyumbang pencemaran air sungai dan laut di pantai Batu Ferringhi.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan JAS dalam mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang pada 28 Februari lepas.

JAS turut memaklumkan bahawa kertas siasatan terhadap pihak terbabit telah siap dan diserahkan kepada pegawai undang-undang JAS persekutuan untuk tindakan lanjut.

Abdul Kadir berkata siasatan berhubung isu itu sedang dijalankan dan pihaknya menunggu keputusan daripada JAS.

IWK, JAS, Batu Ferringhi, pencemaran air, SPAN

Artikel Sebelum

Artikel Lain