suria

Mahkamah Persekutuan Kekalkan Hukuman Mati Lelaki Bunuh Bayi Perempuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang penganggur kerana membunuh seorang bayi perempuan berumur 22 bulan pada 2009. 

Panel lima hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara menolak rayuan akhir Mohd Nizam Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mensabitkannya dengan kesalahan membunuh itu dan menjatuhi hukuman mati.

Zulkefli berkata terdapat keterangan mencukupi untuk mensabitkan Mohd Nizam terhadap pertuduhan itu.

"Pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tiada merit dalam isu yang dibangkitkan pembelaan. Sabitan terhadap Mohd Nizam kekal," katanya.

Mohd Nizam, 35, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kangar pada 24 Februari 2011 kerana membunuh Nur Azlina Abdullah di sebuah rumah di Jalan Tok Dewa di Repoh, Kangar, Perlis antara 9 pagi 23 November dan tengah hari 24 November pada 2009.

Pada 18 April tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Mohd Nizam dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Menurut fakta kes, ibu bayi itu yang juga teman wanita Mohd Nizam, berkata tangan serta kaki anaknya bengkak dan terdapat kesan merah pada perut serta kemaluan bayi itu.

Mohd Nizam diwakili peguam K. Viknesvaran manakala Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin hadir bagi pihak pendakwaan.

Artikel Lain