suria

Syabas Kenal Pasti Kelewatan Bekalan Air Premis Tinggi

Syabas berkata gangguan bekalan air di kawasan kediaman bertingkat dan tinggi mungkin disebabkan masalah paip dalaman.
PETALING JAYA: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) mengakui terdapat rungutan dan aduan daripada orang awam berkaitan pelan catuan air pada ketika ini berbanding ketika ia mula dilakukan.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata, mereka yang tinggal di kawasan tinggi, bangunan tinggi dan bangunan bertingkat menghadapi kelewatan menerima bekalan air.

Bagaimanapun katanya unit aduan awam Syabas hanya menerima sedikit rungutan berhubung perkara itu sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata pada hari apabila bekalan disambung semula, sistem pengagihan hiliran akan diperiksa dengan teliti mengenai kadar tekanan air, kunci udara di dalam saluran dan faktor-faktor lain yang mungkin menyebabkan gangguan.

"Jika ada kelewatan kerana menunggu isu-isu berkenaan diperbetulkan, lori tangki air akan dihantar untuk memberi bantuan kecemasan.

"Kelewatan yang memakan masa lebih daripada dua hari seperti yang dilaporkan media sebenarnya berpunca daripada beberapa sebab lain seperti paip pecah atau kegagalan pam rumah.

"Bagi kes-kes itu, Syabas akan segera melibatkan menghantar kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembaikan," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kekurangan bekalan air yang berterusan di beberapa blok apartmen di Flora Damansara, beliau berkata bagi premis tinggi, Syabas terpaksa mendapatkan kerjasama daripada pihak pengurusan bangunan (JMC) untuk memastikan paras air tangki bumbung berada pada paras stabil sebelum membuka saluran kepada penduduk.

"Di bawah undang-undang, Syabas tidak boleh campur tangan dengan urusan paip dalaman premis yang menggunakan meter pukal seperti bangunan tinggi.

"Dalam kes ini , kami cuba untuk menghubungi JMC Flora Damansara sejak dua hari lalu, tetapi mereka gagal memberi maklum balas," tambah beliau.

Beliau berkata gangguan itu mungkin disebabkan oleh masalah paip dalaman.

Mengenai dakwaan bahawa Syabas tidak melaksanakan catuan air di kawasan kejiranan mewah, Alfred berkata kawasan-kawasan terpilih untuk catuan adalah berdasarkan pertimbangan teknikal sistem pengagihan dan taraf ekonomi kawasan.

"Ini kerana mereka berada di kawasan yang dikecualikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) seperti di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan negeri Selangor di Shah Alam, KLCC, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapangan terbang Subang, Zon bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), zon-zon bebas perdagangan, hospital kerajaan dan swasta dan pusat-pusat dialisis," katanya.

Beliau berkata semua kawasan tersebut telah dibentangkan kepada SPAN sebelum kelulusan pelan catuan itu dibuat.

Artikel Lain