suria

Kes Saman Hanez Suraya Terhadap Bekas Pembantu Gagal Selesai Secara Mediasi

Hanez Suraya.

KUALA LUMPUR: Kes saman pelakon Hanez Suraya Abdul Aziz terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Fairus Mohd Lazim berhubung kenyataan memfitnah menerusi laman sosial, gagal diselesaikan secara baik melalui proses mediasi.

Peguam Harjit Singh, yang mewakili pelakon itu, ketika ditemui pemberita di Pusat Mediasi, Mahkamah Kuala Lumpur, berkata kes itu gagal diselesaikan secara baik selepas kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan terma penyelesaian.

"Kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan yang akan ditetapkan kemudian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng," katanya.

Pada Selasa, Hanez Suraya dan Mohd Fairus selaku defendan berjumpa Hakim Zainal L. Saleh bagi memaklumkan perkembangan proses mediasi mereka.

Pada 17 April ini Hakim Hue akan mendengar permohonan Mohd Fairus bagi mengetepikan permohonan penghakiman ingkar yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Disember tahun lepas terhadapnya selepas beliau gagal memasukkan kehadirannya pada prosiding sebelum ini.

Pada November tahun lepas, Hanez Suraya, 29, yang popular dengan drama 'Love You Mr Arrogant' memfailkan saman itu terhadap Mohd Fairus, 29, mendakwa bekas pembantu peribadinya itu telah memfitnah dan mengaibkannya menerusi laman sosial Instagram menerusi akaun 'DashaSultan' dan Twitter menerusi akaun 'Dasha_Sultan pada 30 September hingga 15 Oktober tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Hanez Suraya mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau merupakan seorang pelakon yang sombong, kedekut, tidak menghormati orang lain, mata duitan, lupa diri, sering bermuka-muka dan tidak berfikiran matang.

Duta kepada produk kecantikan 'Aura White' itu menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos, faedah, injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menyebarkan fitnah terhadapnya dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Artikel Lain