suria

Semua Peringkat Pelan Catuan Air Dilonggarkan Sementara Waktu

Semua peringkat pelan catuan bekalan air di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilonggarkan buat sementara waktu.

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) melonggarkan kesemua peringkat pelan catuan bekalan air di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya buat sementara waktu. 

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata kelonggaran bagi catuan peringkat pertama adalah kerana pengoperasian semula Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 dan Bukit Tampoi sejak 30 Mac setelah kandungan ammonia di Sungai Langat berada di paras rendah.

"Bekalan air yang dikeluarkan kedua-dua loji rawatan air tersebut telah disalurkan oleh pihak Syabas ke kawasan catuan seperti biasa.

"Bagaimanapun syarikat operator kedua-dua loji Puncak Niaga (M) Sdn Bhd memaklumkan bahawa situasi ini belum benar-benar stabil dengan kandungan ammonia yang tidak menentu di Sungai Langat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pelonggaran bagi pelan catuan peringkat ketiga dan keempat pula disebabkan kesemua loji rawatan yang berkenaan telah menambah pengeluaran air terawat selepas peningkatan aliran air sungai di sekitar kawasan Sungai Selangor.

Pengguna digalakkan melayari laman web Syabas di www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini pelan catuan bekalan air itu.

Artikel Lain