suria

Tiga Pengarah Syarikat Didakwa Bersubahat Beri Rasuah

KUALA LUMPUR: Tiga pengarah syarikat pembinaan Inai Kiara Sdn Bhd, dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan bersubahat merasuah bekas Penolong Pengarah Ukur Bahan Jabatan Kerja Raya Sarawak, Ismail Ahim, tujuh tahun lepas.

Roswahida Abdul Wahid, 42, Sharifah Salwa Syed Ali, 36, dan Hisham Mohamad Hashim, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 April untuk sebutan semula kes.

Rosbiahanin juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Morais supaya kes itu dibicarakan bersama dengan kes Ismail, 60, yang telah didakwa pada 7 Okt tahun lepas.

Roswahida, yang kini bukan lagi pengarah syarikat itu, didakwa terhadap lima pertuduhan bersubahat merasuah Ismail melalui lima keping cek yang kesemuanya berjumlah RM6,468 bagi pembayaran ansuran kereta milik isterinya, Norinah Abdul Ghani, 48.

Sementara itu Sharifah Salwa dan Hisham masing-masing didakwa terhadap pertuduhan sama bagi tujuan yang sama melalui sekeping cek bernilai RM1,078.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Ambank (M) Berhad, Jalan Jejaka 2, Taman Maluri di sini antara 24 April 2007 hingga 18 Jan 2008 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh diwakili peguam R.Thayalan.

Pada 7 Okt tahun lepas Ismail mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat pembinaan membabitkan pembayaran ansuran kereta milik isterinya. 

Inai Kiara, Sarawak, Mahkamah

Artikel Lain