suria

Penunggang Superbike Maut Rempuh Belakang Kereta

IPOH: Seorang penunggang superbike maut apabila motosikalnya merempuh belakang sebuah kereta di Kilometer 285 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara, berhampiran Simpang Pulai pada Ahad.

Dalam insiden pada 3.16 petang itu, mangsa, Ting Chang Shyang, 27, dari Kuala Lumpur, mati di tempat kejadian manakala pemandu kereta terbabit, Nurelliana Rahwam, seorang warga Singapura, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh DSP Wan Sharuddin Wan Omar berkata motosikal jenis Suzuki GSX R750 yang ditunggang Ting secara tiba-tiba merempuh bahagian belakang kereta Toyota Corolla Nurelliana.

"Rempuhan itu menyebabkan motosikal berkuasa tinggi itu hilang kawalan dan terbabas serta mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian. 

"Kita masih lagi meneruskan siasatan kejadian itu," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Wan Sharuddin berkata sebelum kemalangan maut itu, terdapat satu lagi nahas yang membabitkan sebuah motosikal lain yang terbabas sendirian.

Beliau berkata insiden itu menyebabkan lalu lintas di lebuh raya berkenaan bergerak perlahan sehinggalah belakang kereta Nurelliana dirempuh mangsa.

Katanya, ketika kejadian, keadaan laluan dua lorong menghala utara adalah lurus dan permukaan yang kering.

Mayat Ting dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain