suria

Mahkamah Tinggi Syariah Tetapkan 6 & 7 Mei Bicara Kes Kassim Ahmad

Kassim Ahmad (kiri).
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Isnin menetapkan 6 dan 7 Mei ini untuk perbicaraan kes bekas aktivis politik dan sosial Dr Kassim Ahmad yang menghadapi dua pertuduhan menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama. 

Hakim Syarie Azzeman Omar menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut pada Isnin.

Beliau juga membenarkan permohonan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris supaya jumlah jaminan yang ditetapkan sebelum ini oleh Hakim Syarie Ummamuddin Yunus sebanyak RM6,000 dengan dua orang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan terhadap Kassim dikekalkan.

Pada 27 Mac lepas, Kassim, 81, mengaku tidak bersalah di hadapan Ummamuddin terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Hari ini selepas pertuduhan dibacakan sekali lagi, Kassim turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu dalam 'Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang' di Yayasan Kepimpinan Perdana, Presint 8 di sini pada 15 dan 16 Feb lepas.

Kassim antaranya dituduh menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina selain mengingkari pihak berkuasa agama, perintah Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis Agama Islam atau Mufti.

Kassim dituduh mengikut Seksyen 7 (b) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 9 akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di luar mahkamah, ketika ditemui media, Ibrahim berkata pendakwaan akan memanggil lebih 10 orang saksi termasuk peserta seminar.

Ditanya sama ada pendakwaan akan memanggil bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merasmikan seminar itu sebagai saksi, beliau berkata pihaknya belum memutuskan untuk berbuat demikian.

Lagipun, katanya, setakat ini pihaknya belum merekodkan kenyataan daripada Dr Mahathir.

Artikel Lain