suria

MH370: PM Australia Taruh Harapan Tetapi Berwaspada 'Isyarat Nadi'

Tony Abbott.

SYDNEY/PERTH: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott pada Ahad berkata, semua pihak yang menyertai operasi mencari "menaruh harapan tetapi tidak bermakna ia adalah pasti" bahawa isyarat nadi yang dilaporkan dikesan oleh kapal China di selatan Lautan Hindi mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak empat minggu lalu.

Agensi berita China, Xinhua melaporkan bahawa kapal peronda negara itu yang sedang mencari pesawat MH370 memperoleh satu isyarat "ping" pada Sabtu, sekali gus menaikkan harapan bahawa ia mungkin peranti beacon dari "kotak hitam" pesawat itu yang mengandungi perakam data, berada di dalam laut.

Pihak berkuasa Australia yang melakukan pencarian itu berkata, isyarat seperti itu mungkin "selaras" dengan kotak hitam, tetapi kedua-dua mereka dan Xinhua menegaskan bahawa tiada bukti konklusif bagi mengaitkan isyarat "ping" dengan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal yang hilang dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

"Ini merupakan pencarian paling sukar dalam sejarah manusia. Kita sedang mencari sebuah pesawat yang berada di dasar laut yang paling dalam, dan ia merupakan kawasan pencarian yang begitu luas," kata Abbott kepada para pemberita di Tokyo, dalam kunjungannya ke Jepun.

"Kita perlu begitu berhati-hati dengan mengeluarkan sebarang kesimpulan muktamad dan tetap terlalu cepat," kata Abbott lagi.

Satu pengesan kotak hitam digunakan oleh kapal Haixun 01 milik China memperoleh isyarat "ping" dengan frekuensi 37.5kHz sesaat - sama seperti yang dipancarkan oleh perakam penerbangan, pada kira-kira 25 darjah latitud selatan dan 101 darjah longitud timur, kata Xinhua.


Artikel Lain