suria

China Hargai Usaha MCA Bantu Keluarga Penumpang

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai (empat, kiri) berdoa ketika upacara keagamaan bagi memperingati pesawat MH370 di Wisma MCA pada Ahad. Turut hadir Duta Besar Rakyat China ke Malaysia Huang Huikang (dua, kiri) dan Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong.
KUALA LUMPUR: China pada Ahad melahirkan penghargaannya kepada MCA di atas bantuan parti itu dalam menguruskan keluarga penumpang China yang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas.

Duta China ke Malaysia Dr Huang Hui Kang berkata sejak berlakunya insiden itu, Malaysia telah memainkan peranan yang sangat penting dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain melakukan pelbagai usaha untuk menjaga waris para penumpang dari China.
 
"Kami turut membantu dalam menguruskan anggota keluarga penumpang terutamanya dari negara kami dengan mengeluarkan visa ke Malaysia.

"Kami sangat menghargai uasha Malaysia terutamanya MCA yang menghantar sukarelawan untuk membantu anggota keluarga terutamanya dari segi sokongan moral," katanya semasa beruacap pada upacara sembahyang beramai-ramai untuk pesawat MH370 itu di Wisma MCA pada Ahad.

Upacara sembahyang itu dianjurkan MCA dengan kerjasama 16 persatuan penganut Buddha di Malaysia termasuk Persatuan Penganut Buddha Belia Malaysia (YBAM), Majlis Penganut Buddha Theravada Malaysia (TBCM) dan Fo Guang Shan Malaysia (FGS).

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong dan para pemimpin lain parti serta hampir 300 penganut Buddha menghadiri upacara itu yang berlangsung kira-kira satu jam setengah.

Pada 30 Mac lepas, MCA menghantar 48 anggota Skuad Bantuan Krisis parti itu yang diketuai Naib Presiden Datin Paduka Chew Mei Fun untuk memberikan sokongan dan bantuan kepada 29 waris warga China yang dibawa ke Malaysia.

Chew, yang dilantik Kabinet sebagai utusan khas bagi membantu anggota keluarga penumpang China, juga menyertai delegasi Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Hamzah Zainudin untuk menemui para pegawai China di Beijing pada 31 Mac hingga 1 April lepas.

Mengenai upcara sembahyang itu, Huang berkata ia bukan sahaja untuk kesejahteraan para penumpang MH370 malah untuk keluarga dan pihak-pihak yang terlibat dalam operasi SAR.

Sambil menyifatkan operasi pencarian MH370 sebagai tugas yang sukar dan mencabar, Huang turut melahirkan penghargaan kepada Malaysia dan 25 negara lain yang meneruskan usaha mencari pesawat hilang itu.

"Menerusi penyertaan pelbagai negara dalam misi SAR, ini jelas membuktikan Malaysia mengekalkan hubungan rapat dengan banyak negara dan telah memberi bantuan kepada mana-mana negara yang berdepan kesukaran," kata beliau.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 153 rakyat China dan 12 anak kapal, hilang setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac. 

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pada 24 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa laluan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi, berdasarkan analisis Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan data satelit Inmarsat United Kingdom.


Artikel Lain