suria

MH370: Tumpuan Cari Kotak Hitam - Hishammuddin

Kotak hitam.
MELAKA: Semua aset negara kini ditumpukan kepada misi mencari kotak hitam pesawat MH370 yang jangka hayat baterinya bakal berakhir dalam masa sehari atau dua hari lagi.

Menteri Pertahahan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata harapan mencari kotak hitam itu sentiasa ada berdasarkan kepada pengalaman pesawat Air France.

Kotak hitam AF447 yang terhempas di Lautan Atlantik pada 2009 hanya ditemui dua tahun kemudian (pada 2011).

"Harapan mencari kotak hitam itu sentiasa ada, kita belum berputus asa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Rakyat Umno Bahagian Masjid Tanah, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah Datuk Ab Rauf Yusof.

Hishammuddin yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan berkata operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 memasuki hari ke-29 membabitkan 10 pesawat tentera, tiga pesawat awam dan 11 kapal yang dikerah menjejaki pesawat itu di Lautan Hindi.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan dan baru pulang daripada menghadiri Forum Pertahanan Amerika Syarikat-Asean di Honolulu, Hawaii, berkata negara-negara Asean perlu mengkaji semula kecanggihan teknologi satelit serta teknologi radar utama dan sekunder untuk memahami apa yang berlaku kepada pesawat MH370.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. 

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan, apabila dipercayai pesawat berkenaan mengubah laluan dan terbang di sepanjang dua koridor - koridor utara iaitu dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan koridor selatan, dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan kaedah analisis terhadap data satelit yang pertama kali digunakan, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan UK Air Accidents Investigation Branch (AAIB) merumuskan bahawa Pesawat MH370 terbang di sepanjang koridor selatan, dengan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth. 

Pada 24 Mac, iaitu 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Artikel Lain