suria

Saman Pelakon Hanez Suraya Terhadap PA Dalam Proses Penyelesaian

Hanez Suraya tak habis-habis dihimpit kontroversi.

KUALA LUMPUR: Kes saman pelakon Hanez Suraya Abdul Aziz terhadap bekas pembantu peribadinya (PA) berhubung kenyataan memfitnah menerusi laman sosial, masih dalam proses penyelesaian.

Peguam Harjit Singh, yang mewakili pelakon itu, ketika ditemui pemberita di Pusat Mediasi, Mahkamah Kuala Lumpur, Rabu berkata,  hakim Zainal L. Salleh telah menetapkan 8 April ini untuk kedua-dua pihak berbincang mengenai terma penyelesaian.

Hanez Suraya, yang popular dengan drama Love You Mr Arrogant, berkata ini merupakan kali pertama dia dan bekas pembantu peribadinya, Mohd Fairus Mohd Lazim berbincang mengenai proses penyelesaian itu.

"Selepas beberapa kali... ini adalah kali pertama kami bertemu dan saya berharap pihak berkenaan (defendan) dapat memberi kerjasama," katanya.

Pada November tahun lepas, Hanez Suraya, 28, yang memfailkan saman itu terhadap Mohd Fairus, 28, mendakwa bekas pembantu peribadinya itu telah memfitnah dan mengaibkannya menerusi laman sosial Instagram menerusi akaun 'DashaSultan' dan Twitter menerusi akaun 'Dasha_Sultan pada 30 Sept hingga 15 Okt tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Hanez Suraya mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau merupakan seorang pelakon yang sombong, kedekut, tidak menghormati orang lain, mata duitan, lupa diri, sering bermuka-muka dan tidak berfikiran matang.

Duta kepada produk kecantikan 'Aura White' itu menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos, faedah, satu injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menyebarkan fitnah terhadapnya dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

 

Hanez Suraya, Artis Saman

Artikel Lain