suria

Tiada Tempat Untuk Orang Seperti Ibrahim Ali Di Sarawak - Adenan Satem

Adenan Satem.
KUCHING: Kerajaan negeri akan terus mengkaji semula senarai nama individu yang dianggap persona non grata (atau dilarang memasuki negeri itu) kerana Sarawak tidak memerlukan ekstremis dan fanatik agama atau bangsa, termasuk Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem pada Isnin berkata bahawa Ibrahim boleh cuba untuk memasuki negeri itu tetapi perlu bersedia menerima akibatnya.

Beliau berkata, ia bukan lagi isu yang relevan sama ada pemimpin kumpulan Melayu berhaluan kanan yang kontroversi datang dan meninggalkan Sarawak kira-kira dua minggu lalu.

"Beliau akan tahu apa yang akan berlaku apabila beliau datang ke Sarawak lain kali," kata Adenan pada sidang media di sini.

Pada pilihan raya kecil (PRK) Balingian baru-baru ini, kerajaan negeri melarang empat pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PRK) daripada memasuki Sarawak iaitu Ketua Wanita parti, Zuraida Kamaruddin; Pengarah Strategik, Rafizi Ramli; Naib Presiden, Tian Chua dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenarkan masuk ke negeri itu.

Adenan menafikan khabar angin mengenai kerajaan negeri membenarkan Anwar memasuki Sarawak kerana bimbang terhadap kekecohan di peringkat antarabangsa.

"Mereka mempunyai pelbagai pandangan mengenai Anwar. Kita biarkan beliau masuk kerana kita tidak takutkannya," kata Adenan sambil menjelaskan bahawa pemimpin pembangkang tersebut tidak mempunyai apa-apa pengaruh di negeri itu.

Beliau berkata, kekalahan PKR dalam PRK Balingian menunjukkan Anawar hanya mempunyai sedikit atau tiada langsung pengaruh di kawasan itu.

Calon Barisan Nasional (BN), Yussibnosh Balo memenangi kerusi Balingian dengan peningkatan majoriti 6,911 undi, dengan mendapat 8,194 undi, menewaskan Abdul Jalil Bujang dari PKR, yang hanya memperoleh 1,283 undi.

Artikel Lain