suria

Rasionalisasi Subsidi Diteruskan Bagi Jamin Kesejahteraan Rakyat - Najib

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Hasil diperoleh daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi akan disalurkan kepada peruntukan pembangunan negara untuk kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, ia juga bagi menampung untuk projek tambahan terutama di Sabah dan Sarawak.

"Apabila 'revenue base' (asas hasil) bertambah, banyak projek termasuk pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan. Kerajaan komited meneruskan rasionalisasi subsidi bagi membantu melonjak ekonomi negara.  

"Peruntukan pembangunan setahun sekarang dalam lingkungan RM46 bilion, dan subsidi dan insentif sudah cecah RM43 bilion tahun lepas. Sudah tentu ini satu belanja yang berat sebelah, oleh itu, adalah wajar kerajaan laksanakan rasionalisasi subsidi secara mampan," katanya.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin tahu adakah kerajaan akan meneruskan rasionalisasi subsidi dan apakah langkah-langkah yang diambil, dalam persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Najib berkata, subsidi sebelum rasionalisasi ini diberikan secara pukal sehinggakan berlaku banyak pembaziran dan ketirisan serta menguntungkan golongan pendapatan tinggi melebihi golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah.

Untuk itu, katanya, kerajaan kini memberikan subsidi bersasar kepada kelompok yang memerlukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan sedang mengkaji langkah-langkah untuk penambahbaikan bantuan ini.

Kepada soalan tambahan Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Najib berkata: "Dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi, kerajaan mesti menentukan sistem Jaringan Keselamatan Sosial diperkukuhkan bagi menjaga kebajikan agar golongan berpendapatan rendah tidak merasai tekanan hidup sebab kenaikan perbelanjaan yang dialami mereka."

Tan ingin tahu apakah falsafah yang digunakan oleh kerajaan semasa melaksanakan rasionalisasi subsidi.

Menerusi subsidi ini, Najib berkata perbelanjaan yang dijimatkan oleh kerajaan, sebahagiannya akan diperluaskan dalam bentuk jaringan keselamatan sosial untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta melindungi kesejahteraan rakyat.

Hakikatnya, Najib berkata sebahagian daripada penjimatan rasionalisasi subsidi juga akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan yang dapat meningkatkan kapasiti produktif negara seperti pembinaan infrastruktur pengangkutan termasuk jalan-jalan luar bandar dan bandar, hospital dan perumahan.

Selain itu, katanya, dengan adanya penjimatan itu, kerajaan akan dapat membina lebih banyak sekolah dan institusi pendidikan serta latihan yang amat diperlukan dalam pembangunan modal insan.

Kepada soalan asal Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai langkah kerajaan menstrukturkan semula ekonomi negara termasuk rasionalisasi subsidi, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan telah mengambil keputusan untuk melaksanakan Program Transformasi Fiskal (FTP) bagi mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan negara termasuk mengurangkan defisit fiskal dan hutang negara serta menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan holistik.

"Semestinya, langkah transformasi fiskal ini termasuk rasionalisasi subsidi adalah untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan pengagihan sumber kewangan kerajaan.

"Malaysia mengambil pendekatan secara beransur-ansur bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan pada masa sama, berupaya mengekalkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Perdana Menteri menerangkan langkah rasionalisasi subsidi adalah perlu kerana perbelanjaan subsidi semakin meningkat selari dengan peningkatan harga minyak mentah dunia dan pertambahan jumlah bilangan kenderaan.

Misalnya, katanya pada tahun 2010, kerajaan telah membelanjakan RM23.1 bilion atau 15 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus untuk membiayai subsidi, bantuan dan insentif.

"Pada tahun lepas pula, hanya dalam tempoh tiga tahun sahaja, jumlahnya telah meningkat kepada RM43.4 bilion atau 21 peratus daripada belanja mengurus.

"Pemberian subsidi yang begitu besar akan menjejaskan kedudukan kewangan negara dan menyebabkan ia tidak mampan dalam jangka masa panjang," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata, pembaharuan fiskal adalah penting bagi mengukuhkan kedudukan kewangan dan memastikan sasaran defisit fiskal pada paras 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini, 3 peratus pada tahun 2015 dan bajet berimbang pada tahun 2020 tercapai.

Najib berkata, kerajaan terus komited bagi memastikan paras hutang negara sentiasa tidak melebih 55 peratus daripada KDNK dan menjamin kemampanan fiskal jangka panjang negara.

"Langkah rasionalisasi subsidi telah dilaksanakan secara berhati-hati bagi memastikan kesan yang minimum dan tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah. 

"Pelaksanaan rasionalisasi subsidi juga mengambil kira pelbagai aspek termasuk kadar inflasi, kos sara hidup dan kedudukan ekonomi global semasa serta mekanisme sasaran," jelas beliau.

Secara keseluruhan, Najib berkata, langkah rasionalisasi subsidi dan bantuan terus menunjukkan keseriusan kerajaan untuk melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan, bagi memastikan negara mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dengan rakyat dapat menikmati kualiti hidup lebih baik.

Artikel Lain