suria

APMM Tahan 10 Nelayan Asing Tangkap Ikan Di Perairan Negara

APMM Tanjung Sedili menahan dua bot nelayan asing kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara berhampiran Tanjung Lompat di Kota Tinggi, Selasa. - fotoBERNAMA
KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili menahan 10 nelayan asing yang didapati menangkap ikan di perairan negara berhampiran Tanjung Lompat dekat sini awal pagi Selasa.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata mereka diberkas susulan pemeriksaan ke atas dua bot nelayan dalam operasi pukul 1.15 pagi di kedudukan 16.5 batu nautika dari timur Tanjung Lompat.

"Setelah diperiksa, didapati bot tersebut didaftarkan di negara jiran. Terdapat seorang tekong dan empat awak-awak bagi setiap bot yang berusia antara 23 dan 62 tahun. Kesemua nelayan tersebut disyaki berasal dari Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata pihaknya turut mendapati kedua-dua bot tersebut memuatkan rawai seberat dua tan bersama hasil tangkapan.

Amran berkata berdasarkan siasatan awal ke atas tekong terbabit, bot berkenaan telah keluar menangkap ikan sejak 28 Mac lepas.

Beliau berkata bot dan nelayan terbabit dibawa ke Jeti APMM Tanjung Sedili untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. 

Artikel Lain