suria

Empat Warga Indonesia Ditahan Kerana Miliki Cop Pas Lawatan Sosial Palsu

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan empat warga Indonesia di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Banda Hilir di sini kerana memiliki cop pas lawatan sosial palsu.

Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Melaka Abu Bakar Sidek Hasan berkata dua lelaki dan dua wanita berusia 18 hingga 46 yang ingin pulang ke Jakarta dan Surabaya, Indonesia itu ditahan ketika pemeriksaan di kaunter Imigresen CIQ kira-kira 3.30 petang, Isnin.

"Ketika pemeriksaan pasport dijalankan didapati terdapat kesalahan ejaan pada cop pas lawatan sosial bertarikh 8 Mac 2014 iaitu reman yang sepatutnya remain...ini menunjukkan ia palsu," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini, Selasa.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kesemua mereka mengaku masuk ke negara ini secara sah antara 2007 hingga 2010 dan tidak pernah keluar dari Malaysia.

Katanya mereka membayar antara RM1,600 dan RM1,800 seorang bagi mendapatkan cop berkenaan.

Abu Bakar berkata kegiatan pemalsuan cop pas lawatan sosial itu dipercayai didalangi dua lelaki berstatus penduduk tetap di Puchong dan Gombak, Selangor.

Beliau berkata pihaknya kini sedang menjejaki kedua-dua lelaki terbabit bagi siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata seramai 25 warga asing termasuk seorang wanita berusia antara 18 hingga 48 tahun ditahan dalam empat serbuan berasingan di Ramuan Cina, Alor Gajah; Tambak Paya dan Merlimau, Jasin serta sebuah pusat perjudian di Cheng, Melaka Tengah setelah didapati tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah. 

Katanya kesemua yang ditahan dalam operasi selama enam jam bermula 10 malam tadi itu terdiri daripada enam warga Indonesia; Bangladesh (6); Myanmar (4); Nepal (6) dan masing-masing satu dari Pakistan, India serta Vietnam.

Artikel Lain