suria

Malaysia, Timor-Leste Pertingkat Hubungan Dua Hala

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao ketika menerima kunjungan Perdana Menteri itu di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, Isnin. Foto MOHD SAHAR MISNI / THE STAR
PUTRAJAYA: Malaysia dan Timor-Leste akan meningkatkan hubungan dua hala dengan memperluas kerjasama sedia ada dan menerokai potensi dalam pelbagai bidang strategi yang belum diterokai di kedua-dua negara.

Malaysia turut mengikrarkan sokongan padu terhadap kemasukan Timor-Leste dalam perkumpulan rantau Asean, yang Timor-Leste berharap untuk menganggotainya.

Perkembangan itu adalah hasil perbincangan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao di pejabat Najib di bangunan Perdana Putra di sini Isnin bersempena lawatan rasmi tiga hari Gusmao di Malaysia. 

Najib, dalam kenyataannya berhubung mesyuarat itu dalam sidang media bersama, berkata terdapat skop luas dan potensi besar bagi kedua-dua negara memperluas kerjasama dalam banyak bidang.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju akan pentingnya menggalakkan masyarakat perniagaan  kedua-dua negara untuk meningkatkan pelaburan dan memanfaatkan peluang sedia ada di Malaysia dan Timor-Leste.  

Najib berkata, Timor-Leste turut mempelawa Malaysia menerokai potensi dalam bidang infrastruktur, minyak dan gas, penjagaan kesihatan, perlombongan, pelancongan dan pertanian di negara itu.

Beliau berkata, Gusmao juga berminat mendapatkan penyertaan sektor swasta Malaysia dalam pembangunan Timor-Leste. 

Forum perniagaan bakal dihadiri kira-kira 200 syarikat Malaysia akan diadakan pada Selasa di Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada sektor swasta Malaysia menerokai potensi di Timor-Leste, katanya.

"Menerusi forum perniagaan ini, terdapat peningkatan untuk melihat potensi pelaburan di Timor-Leste," katanya.

Najib juga berkata, Malaysia Airport Holdings Bhd berminat mengkaji kemungkinan untuk turut serta dalam pembangunan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Presidente Nicolau Lobato di Timor-Leste.

Najib berkata, Timor-Leste juga mempelawa syarikat minyak kebangsaan Petronas untuk mengkaji perspektif baharu potensi dalam cari gali minyak dan gas serta pembangunan di negara itu.

Beliau berkata, Malaysia dan Timor-Leste yakin perdagangan baik dan potensi pelaburan boleh dimanfaatkan oleh kedua-dua negara dan terus berkembang pada masa depan.

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor Leste berjumlah AS$1.2 juta (RM69.4 juta) tahun lepas.

Najib juga berkata, Malaysia dan Timor-Leste bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pembinaan keupayaan negara.

"Kita (Malaysia) menawarkan banyak kursus menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia. Kita akan terus menawarkan kemungkinan pembinaan keupayaan negara dalam banyak bidang menerusi kedua-dua program," katanya.

Najib berkata, Timor-Leste menyokong usaha Malaysia untuk menduduki kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC). 

Malaysia telah mengemukakan pencalonannya bagi anggota tidak tetap UNSC untuk penggal 2015-2016. Malaysia setakat ini merupakan calon tunggal daripada kumpulan Asia-Pasifik untuk kerusi itu.

Najib berkata, Malaysia menyokong permohonan Timor-Leste untuk menjadi anggota Asean. 

Gusmao, yang mengucapkan terima kasih kepada Najib dan Malaysia atas sokongan terhadap cadangan negaranya menganggotai perkumpulan serantau itu, berkata:

"Kami akan melakukan yang terbaik dan tidak sabar menunggu sehingga saat kami boleh menjadi anggota Asean." 

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Najib atas peranan Malaysia menjadi perantara bagi proses damai di selatan Filipina, sehingga membawa kepada pemeteraian bersejarah Perjanjian Komprehensif bagi Bangsamoro (CAB) pada 28 Mac di Manila.   

Terdahulu, Najib dan Gusmao menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi pembangunan koperasi dan kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan National University of Timor-Leste.

Artikel Lain