suria

Kematian Akibat Tibi Meningkat 13% Tahun Lepas

Dr Subramaniam.

KUALA LUMPUR: Tibi atau Tuberculosis menjadi punca utama kematian bagi kategori penyakit berjangkit dengan mencatatkan peningkatan kes kematian sebanyak 13 peratus pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sebanyak 1,597 kes kematian disebabkan Tibi dilaporkan di Malaysia pada tahun lepas iaitu meningkat sebanyak 183 kes berbanding 1,414 kes kematian pada 2012.

"Kes Tibi juga meningkat pada tahun lepas iaitu sejumlah 24,071 kes dilaporkan dan ia meningkat sebanyak enam peratus atau 1,361 kes berbanding 22,710 pada tahun 2012," katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Tibi Sedunia 2014 peringkat kebangsaan yang bertemakan 'Mantapkan Prestasi:Ke arah Mengesan, Merawat dan Menyembuhkan Pesakit Tibi' di sini, Isnin.

Beliau berkata, secara nisbah seorang pesakit Tibi yang aktif boleh memberi jangkitan kepada 10 orang lain sekiranya tidak mendapatkan rawatan lanjut dan tidak menghiraukan langkah pencegahan awal bagi menghapuskan kuman Tibi. 

"Sebanyak 14 peratus penyakit Tibi ini merebak disebabkan oleh warga asing manakala 86 peratus lagi disebabkan oleh penduduk tempatan. Setakat ini Sabah merupakan negeri yang mencatatkan kes Tibi paling banyak iaitu 4,526 kes," katanya.

Dr Subramaniam berkata, ujian saringan kesihatan mengesan penyakit itu pada peringkat awal adalah amat penting bagi masyarakat untuk ambil berat supaya individu yang disahkan menghidapi Tibi boleh mendapatkan rawatan lanjut bagi memutuskan rantaian jangkitan.

"Kenal pasti penyakit Tibi yang mustahak. Kalau ada batuk berterusan, tidak ada selera makan dan demam yang berterusan tanpa sebab, individu itu perlu berjumpa doktor dengan kadar segera. 

"Ada keperluan untuk mendapat rawatan lanjut dan ubatan khusus untuk penyakit ini agar kuman yang boleh menjangkiti orang lain akan berkurangan dan tidak akan merebak," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Dr Subramaniam berkata, kementerian itu begitu komited terhadap usaha menangani masalah penularan penyakit Tibi dalam kalangan rakyat dengan merangka beberapa pelan strategik kebangsaan seperti Program Kawalan Tibi Kebangsaan.

"Bagi memperkukuh Program Kawalan Tibi Kebangsaan ini, Kementerian Kesihatan telah menyediakan beberapa strategi untuk mendekati pesakit Tibi yang masih tidak mendapatkan perkhidmatan rawatan yang disediakan dalam proses penyembuhan penyakit ini.

"Antaranya ialah memperluaskan perkhidmatan rawatan Tibi kepada klinik-klinik swasta bagi memastikan rakyat mendapat rawatan Tibi yang cepat, tepat dan efisien," katanya.

tibi, subramaniam

Artikel Lain