suria

Irene Fernandez Meninggal Dunia

Mendiang Irene Fernandez

PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Tenaganita, Dr Irene Fernandez meninggal dunia pada pukul 10.15 pagi Isnin selepas lima hari berada dalam keadaan kritikal.

Menurut kenyataan di Facebook Tenaganita, beliau yang berada dalam keadaan kritikal sejak 25 Mac lalu dilaporkan kembali stabil dan mampu memberi tindakbalas pada Ahad.

Bagaimanapun beliau disahkan meninggal dunia pada pagi Isnin.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi Twitternya turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Irene adalah aktivis hak asasi manusia dilahirkan 1946, juga bekas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau dikenali kerana keberaniannya dalam mempertahankan hak asasi manusia seperti hak pekerja asing di Malaysia.

Antara dakwaannya adalah mengenai pekerja warga Indonesia dan Bangladesh dilayan buruk di Malaysia, dan perkara itu dimaklumkan kepada media asing seperti Jakarta Post.

Di bawah PKR, Irene pernah bertanding dalam pilihan raya umum 1999 di Parlimen Subang namun ditewaskan oleh calon Barisan Nasional (BN) pada ketika itu, Tan Sri Karnail Singh Nijhar.

Pada 16 Oktober 2003, Irene dijatuhi hukuman penjara 12 bulan setelah didapati bersalah atas tuduhan menerbitkan memorandum bertajuk Abuse, Torture and Dehumanised Treatment of Migrant Workers at Detention Camps ( Penderaan, Penganiayaan dan Layanan Tidak Berperikemanusiaan Terhadap Pekerja Asing di Kem Tahanan) pada 25 Ogos 1995, yang didakwa mengandungi berita-berita palsu.

Irene bagaimanapun dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan itu pada 24 November 2008.







Tenaganita, Selangor

Artikel Lain