suria

Pekerja Rumah Tumpangan Mengaku Tidak Bersalah Tipu CEO Berhubung Pembelian Ferrari

PETALING JAYA: Seorang pekerja rumah tumpangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu terhadap dua pertuduhan menipu seorang ketua pegawai eksekutif syarikat teknologi maklumat, berhubung pembelian kereta Ferrari 458 Italia membabitkan RM55,500 tiga tahun lepas.

Sidhartha Ramon John, 36, didakwa menipu N. Ezilan, 48, supaya menyerahkan cek Public Bank bernilai RM5,500 bagi tujuan pembayaran pemprosesan kereta tersebut sedangkan pemprosesan itu tidak wujud di Naza Italia Sdn Bhd, Lot 3, Jalan 51A/221 Petaling Jaya di sini pada 5 Januari 2011.

Dia juga didakwa menipu Ezilan supaya menyerahkan cek Public Bank bernilai RM50,000 bagi tujuan sama di tempat yang sama pada 25 Jan 2011.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya menawarkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan namun Sidhartha yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana tidak mempunyai wang tunai yang banyak.

Majistret Mohd Nazri Omran membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April untuk sebutan.
Sidhartha Ramon John, Ferrari

Artikel Lain