suria

MH370: Objek Di Lautan Hindi Belum Disahkan Berkaitan

SEPANG: Belum disahkan sama ada dua objek dikesan dalam imejan satelit Australia di selatan Lautan Hindi ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata tiada perkembangan baharu berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi pesawat Boeing 777 itu.

"Tiada perkembangan dan keadaan adalah sama seperti semalam, tetapi boleh dikatakan lebih banyak aset akan digunakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat harian mengenai operasi SAR itu di sini, Sabtu.

Hishammuddin berkata lebih banyak peralatan canggih dan kapal dari pelbagai negara telah menyertai operasi mencari pesawat Malaysia membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu yang hilang pada 8 Mac, setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Beliau, bagaimanapun berkata sekiranya misi SAR di selatan Lautan Hindi gagal mengenal pasti serpihan itu, terdapat keperluan untuk kembali ke dua "koridor pencarian" yang dikenal pasti sebelum ini.

Perdana Menteri Australia Tony Abbott memberitahu sidang Parlimen bahawa satelit telah mengesan dua objek, termasuk serpihan sepanjang 24 meter.

Mengenai sama ada terdapat data baharu satelit, Hishammuddin berkata: "Saya menerima data satelit dari China terutamanya, kerana mereka mempunyai 21 satelit di luar sana...tetapi tiada yang berwibawa ketika ini. Saya boleh sahkannya."

Sementara itu, Amerika Syarikat mengerahkan sebuah pesawat peninjau maritim P-3C Orion untuk menyertai misi SAR.

"Hari ini, Sabtu kami perlu melakukan pencarian di kawasan seluas 25,000 batu persegi di tenggara Kepulauan Cocos dalam operasi 10 jam," kata komander misi, Jorge Guilloty kepada Bernama sebelum pesawat itu berlepas dari pangkalan tentera udara di Subang.

Pesawat Boeing 777 itu dalam penerbangan ke Beijing apabila hilang secara misteri daripada skrin radar. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu (8 Mac).

MAS, MH370, KLIA

Artikel Lain