suria

MH370: AS Pertimbang Permintaan Malaysia Guna Sonar

Chuck Hagel

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan menimbangkan permintaan Malaysia bagi bantuan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dari radar pada 8 Mac lepas.

Ini susulan panggilan telefon Pemangku Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel malam Jumaat.

Semalam Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau akan meminta bantuan daripada AS, bagi aset khusus termasuk aset dilengkapi keupayaan mencari di laut dalam.

"Tiada permintaan spesifik dibuat bagi mana-mana jenis aset tertentu. Ia berupa permintaan secara umum untuk kami membantu mengesan serpihan pesawat dan kotak hitam," menurut laporan agensi berita Reuters yang memetik jurucakap Pentagon Laksamana Madya John Kirby, semasa diminta mengulas panggilan telefon itu.

"Setiausaha berkata beliau akan menimbangkan permintaan itu, dan beliau akan meneliti sama ada kami mempunyai apa-apa yang boleh dan berpotensi untuk membantu dan beliau akan menghubungi semula Menteri (Hishammuddin) dalam masa terdekat," katanya.

Menurut agensi berita itu, Tentera Laut AS mempunyai pelbagai sistem sonar yang aktif dan pasif, antaranya berupaya mengesan objek di laut dalam dengan mengeluarkan bunyi 'ping' dan memantau bunyi bergema dan ada yang berupaya mendengar bunyi seperti mikrofon bawah laut.

Bagi operasi SAR untuk mengesan pesawat MH370, AS pada awalnya mengerahkan kapal pemusnah misil tentera laut, USS Kidd, serta USS Pinckney, bersama-sama dua pesawat peninjau P-8 dan P-3.

Pesawat Boeing 777-200ER yang dalam penerbangan ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

MH370, MAS, Chuck Hagel, Amerika Syarikat

Artikel Berikut

Artikel Lain