suria

Pasukan 'Peringkat Tertinggi' Ke Beijing Tangani Kebimbangan Keluarga Penumpang MH370

Sebahagian ahli keluarga dan saudara penumpang MH370 warga China.

SEPANG: Malaysia menghimpunkan pasukan 'peringkat tinggi' untuk dihantar ke Beijing bagi menangani kebimbangan yang disuarakan oleh keluarga penumpang MH370, kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Pasukan itu akan memberi taklimat dan kemas kini kepada keluarga dan saudara mereka berhubung situasi rancangan mencari dan menyelamat.

"Pasukan itu termasuk wakil-wakil Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Luar, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airlines (MAS)," kata Hishammuddin.

Bercakap pada sidang media di Hotel Sama-Sama di sini Rabu, beliau berkata, pasukan itu akan diketuai oleh Komander Operasi Udara TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad, yang akan dibantu oleh Pengarah Perkhidmatan Jabatan Trafik Udara Penerbangan Awam, Ahmad Nizar Zolfakar.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777 hilang dari radar Malaysia pada pukul 2.15 pagi 8 Mac selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Beijing. Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal.

Pada Selasa lalu, Reuters melaporkan bahawa keluarga di China mengancam untuk melancarkan mogok lapar sehingga Kerajaan Malaysia memberitahu mereka mengenai kebenaran tentang nasib saudara-mara mereka di dalam pesawat MH370, dan mendapati bahawa ahli-ahli keluarga penumpang MH370 berang dan tidak puas hati terhadap wakil-wakil syarikat penerbangan yang dihantar ke China untuk bertemu dengan mereka pada Selasa, dan kemudiannya mendesak untuk berjumpa dengan duta Malaysia.

Seramai 153 daripada 227 penumpang dalam penerbangan itu merupakan warga China.

China, Reuters, Hishammudin, MH370

Artikel Lain