suria

Kerajaan Usaha Dapatkan Hak Imuniti Pegawai Tourism Di Sweden

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin (tiga, kanan) beramah mesra bersama empat anak pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden di kediaman keluarga mereka di Kampung Wakaf Tok Wali, Kota Baharu, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan kekebalan imuniti kepada semua pegawai Tourism Malaysia yang ditugaskan di Sweden, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Rabu. 

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata langkah itu bagi menjaga kedudukan pegawai jabatan itu yang ditugaskan di Sweden dari dikenakan sebarang tindakan perundangan negara berkenaan. 

Beliau berkata ia juga bagi mengelakkan berulangnya kes seperti pegawai Tourism Malaysia Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Nurshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, yang ditahan di Sweden atas tuduhan mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka.

Mereka sedang menjalani perbicaraan di Mahkamah Daerah Stockholm kerana didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Sweden dari 15 Sept 2010 hingga 17 Disember 2013.

"Azizul tidak diberikan pengiktirafan kekebalan imuniti dari segi perundangan oleh negera Sweden seperti mana diperoleh semasa beliau berkhidmat di Afrika Selatan. Ini menimbulkan masalah kepada kerajaan Malaysia kerana sukar mencampuri perundangan Sweden bagi membantu pasangan itu.

"Justeru kita (kerajaan) kini sedang berusaha untuk meminta negara Sweden mengiktiraf pegawai Tourism kita sebagai pegawai yang boleh diberikan taraf diplomatik," katanya ketika menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) di sini.

Mengulas mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi membantu pegawai diplomatik dan pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara sekiranya terbabit dengan kes perundangan, Hamzah berkata pegawai konsular di perwakilan Malaysia di luar negeri akan memberikan bantuan konsular.

Antara langkah dan bantuan konsular yang diberikan ialah bertemu pegawai berkenaan untuk mengetahui kedudukan kes dan sekiranya kes itu boleh diselesaikan di peringkat awal, maka urusan dengan pihak berkuasa tempatan akan dilakukan bagi membebaskan pegawai itu.

"Lawatan konsular dalam bentuk membekalkan keperluan pegawai serta pertemuan dengan pegawai dan peguam bela akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk mendapatkan maklumat dan nasihat mengenai perundangan negara berkenaan bagi memastikan hak pegawai terjamin," katanya.

Artikel Lain