suria

Perkongsian Maklumat Dengan Agensi Asing Dalam Kawalan

Artis Seni Halimunan, Safirah Rashid, 28, berdiri bersebelahan kain rentang gergasi di Anjung Tinjau KLIA pada Isnin. Dia berbuat demikian dengan tujuan menonjolkan keprihatinannya kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu. - fotoBERNAMA
SEPANG: Perkongsian maklumat dengan pelbagai agensi asing yang terlibat dalam siasatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 tidak menjejaskan keselamatan negara kerana ia masih dalam kawalan, kata Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Ia tidak dalam tahap yang membimbangkan. Tapi untuk jangka masa panjang, kita akan lihat semula kemampuan radar kita. Ini telah saya maklumkan kepada Perdana Menteri," katanya dalam sidang akhbar harian berhubung perkembangan kehilangan pesawat itu di sini Isnin.

Beliau berkata fokus dan keutamaan negara kini ialah mencari dan mengesan pesawat MH370.

Hishammuddin turut menolak teori bahawa pesawat itu dirampas dengan alat kawalan jauh. 

"Bagi saya ia tidak mungkin. Kalau ada maklumat yang sudah disahkan, kita pasti akan siasat," katanya.

Beliau juga menafikan laporan bahwa Malaysia menolak tawaran FBI untuk menghantar satu pasukannya ke Malaysia.
 
"Itu jelas satu maklumat palsu kerana Malaysia sudah bekerjasama dengan FBI, Interpol dan pihak berkuasa pelaksanaan undang-undang antarabangsa yang berkaitan sejak hari pertama insiden," katanya. 

Pada Ahad, pakar dari Pentadbiran Penerbangan Awam China turut menyertai pasukan penyiasat.

Pada Isnin, pegawai dari Pejabat Siasatan dan Analisis bagi Keselamatan Jabatan Penerbangan Awam Perancis tiba di Malaysia bagi berkongsi pengalaman mereka dengan pasukan itu. 

Kesemua pihak ini bekerjsama dengan Malaysia Airlines dan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia untuk memperhalusi data yang boleh membantu pencarian pesawat itu.
Hishammuddin juga berkata pihak risikan dan berkuasa China telahpun diminta melihat kembali senarai penumpang yang membabitkan rakyat negara itu.

Menjawab soalan jika pihak berkuasa menyiasa kemungkinan juruterbang pesawat itu bertindak membunuh diri, Hishammuddin berkata polis melakukan siasatan dari pelbagai sudut.

Artikel Lain