suria

NFCORP: Shamsubahrin Nafi Dihantar Tun Mahathir

Shamsubahrin Ismail.
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail menafikan pernah memberitahu bekas Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail bahawa dia dihantar oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu menyelesaikan masalah NFCorp.

Shamsubahrin, 48, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa nama Tun Dr Mahathir hanya dibangkit untuk mengingatkan Mohamad Salleh tentang pertemuan pertama mereka semasa lawatan bekas perdana menteri itu di Taman Teknologi Malaysia kira-kira 15 tahun lepas.

Perkara itu dimaklum semasa pertemuan antaranya dengan Mohamad Salleh di Restoran Sid's Pub di H2, Taman Tunku, Off Langkat Tunku di sini pada 6 petang 20 Nov 2011.

Pada pertemuan itu, Shamsubahrin memperkenalkan diri sebagai 'Datuk Sham' namun Mohamad Salleh kelihatan agak sukar untuk mengingatinya dan menyatakan "You look familiar".

Sehubungan itu, Shamsubahrin berkata dia cuba mengembalikan memori Mohamad Salleh tentang pertemuan mereka dengan memberitahu bahawa mereka pernah bertemu di TPM semasa Mohamad Salleh memberi penerangan berkaitan projek Teknologi Ayam Bertelur dan pernah berbual ketika terserempak di sebuah hotel di Putrajaya kira-kira empat tahun lepas.

"Ketika itu Mohamad Salleh bersama anaknya berada di lobi. Beliau telah menegur saya dan memberitahu bahawa telah mendapat projek Feedlot daripada kerajaan dan mahu pergi ke Indonesia untuk melihat lembu," katanya.

Shamsubahrin berkata demikian ketika disoal peguam Hasnal Redzua Merican dalam keterangan membela diri bagi lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh Tun Dr Mahathir membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Sementara itu, ketika disoal Hasnal Redzua tentang perkara yang dibincang dalam pertemuan mereka di Restoran Sid's Pub itu, Shamsubahrin berkata Mohamad Salleh memberitahu syarikatnya dilantik kerajaan untuk membangunkan projek Feedlot dan kerajaan telah meluluskan pinjaman modal berjumlah RM250 juta kepada NFCorp.

Katanya, dalam perbincangan itu, Mohamad Salleh juga memaklumkan bahawa selepas menerima wang pinjaman, operasi projek Feedlot tidak akan dijalankan sepenuhnya mengikut cadangan sebaliknya menggunakan sebahagian daripada wang berkenaan untuk membeli hartanah.

Shamsubahrin berkata selepas mendengar penerangan Mohamad Salleh itu, dia terus bertanya sama ada penggunaan wang untuk membeli hartanah melalui proses protokol kewangan syarikat atau tidak.

Perbicaraan di depan Hakim Rozilah Salleh bersambung pada Selasa.

Artikel Lain