suria

Fokus Utama MAS Jaga Anggota Keluarga Penumpang & Anak Kapal MH370

Kelihatan anggota keselamatan MAS menghalang pengamal media untuk mendekati ahli keluarga penumpang pesawat MH370 dari China ketika sesi taklimat untuk keluarga berbabit di hotel di Cyberjaya malam Khamis. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Fokus utama Malaysia Airlines (MAS) kini ialah memberi penjagaan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan yang hilang, MH370.

MAS dalam kenyataan di sini pada Jumaat memaklumkan ini termasuk menyediakan mereka dengan maklumat yang tepat pada masanya, kemudahan perjalanan, penginapan, makanan dan minum, perubatan serta sokongan emosi.

"MAS mengulangi bahawa kami akan terus memberi sepenuh sokongan dalam kerjasama misi mencari dan menyelamat yang dikoordinasikan oleh Jabatan Penerbangan Awam di bawah Kementerian Pengangkutan," menurutnya.

Menurut kenyataan itu, MAS sedar mengenai spekulasi berterusan pihak media dan memaklumkan syarikat penerbangan itu tidak mempunyai sebarang maklumat tambahan yang telah diberikan sebelum ini.

"MAS akan sentiasa menyediakan maklumat berhubung MH370 yang dikemas kini kepada orang awam melalui media dan laman sesawang," menurutnya.

Pencarian pesawat MAS itu memasuki hari ketujuh hari ini. 
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dari Beijing ke Kuala Lumpur itu hilang pada awal pagi Sabtu.
mas, penumpang, mh370

Artikel Lain