suria

PRK Kajang: Chew Ikrar Jadi Pembangkang Berkesan

Datin Paduka Chew Mei Fun (kiri) dan calon PKR Datin Seri Wan Azizah pada hari penamaan calon PRK Kajang 11 Mac lalu.
KAJANG: Calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun yakin dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan jika dipilih menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang 23 Mac ini.

Tegas Chew, beliau mahu memperkukuhkan barisan pembangkang di DUN Selangor khususnya menjadi pasukan semak dan imbang mengenai penguruskan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Selain itu saya juga berikrar mahu membetulkan masalah hal ehwal tempan termasuk mahu bertindak sebagai duta muhibba untuk perpaduan rakyat," katanya ketika melancarkan ikrar dan janjinya kepada pengundi DUN Kajang di Pusat Operasi Induk MCA di Taman Berjaya pada Jumaat.

Menerusi PRK DUN Kajang, Chew akan berhadapan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam saingan satu lawan satu.

Wan Azizah yang juga isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi calon parti itu menggantikan suaminya yang sepatutnya bertanding di kerusi DUN Kajang.

Selain itu Chew yang juga Naib Presiden MCA berjanji untuk mengatasi masalah keperluan asas masyarakat Kajang jika pengundi kawasan ini memberi peluang kepadanya mewakili mereka di DUN Selangor.

Antara tumpuan yang akan diberikan Chew ialah untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam dan lalulintas di Kajang serta menyelesaikan masalah banjir.

"Saya mahu memainkan peranan sebagai jambatan berkesan di antara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan rakyat.

"Saya mahu memantau pentadbiran kerajaan tempatan untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang memuaskan khususnya dalam pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur," katanya.

Artikel Sebelum

Apa Itu Transponder?

Artikel Lain