suria

Wanita Hadapi 29 Tuduhan Palsu Perjanjian Iklan Internet

SHAH ALAM: Bekas pengurus akaun wanita di TM Info Media Sdn Bhd, anak syarikat Telekom Malaysia Sdn Bhd (TM), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 29 pertuduhan memalsukan perjanjian pengiklanan Internet melibatkan kontrak lebih RM400,000 pada 2011.

C. Malini, 35, didakwa memalsukan dokumen bagi perjanjian pengiklanan dalam Internet di Yellow Pages untuk 14 syarikat bertujuan untuk mengelirukan dan memperdayakan TM sedangkan kesemua perjanjian itu tidak berlaku.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 6, Blok C, Mines Waterfront Business Park, No.3, Jalan Tasik Mines Resort City, Seri Kembangan dekat sini, antara 14 Mac dan 21 Sept 2011.

Suri rumah itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Hakim M. Bakri Abd Majid membenarkan wanita itu dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Malini melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 14 Mei ini dan menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada SPRM Nor Azah Kasran manakala tertuduh diwakili peguam M. Tharuma Ratnam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain