suria

Kertas Siasatan Kes Twitter Dr Afif Hampir Siap - Polis

Dr Afif.
GEORGE TOWN: Kertas siasatan berhubung kenyataan anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Dr Afif Bahardin melalui akaun Twitter miliknya 4 Mac lepas yang didakwa menghina pasukan polis, hampir siap dan dijangka diserah kepada pejabat pendakwa raya dalam tempoh terdekat. 

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada tiga individu iaitu Dr Afif dan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan status twitter itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.
 
Jumaat lepas polis merakam keterangan Dr Afif di pejabatnya di Komtar dan turut mengambil telefon bimbit milik beliau yang dipercayai digunakan untuk memuat naik status berkenaan. 

Dr Afif, anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri.
 
Sementara itu, Thaiveegan berkata kertas siasatan mengenai kejadian telur busuk pecah di tangan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok ketika bersalam dengan seorang pengunjung semasa ceramah anjuran pakatan pembangkang di Taman Cermai dekat sini, Rabu lepas, telah siap. 

"Kertas siasatan kes itu mungkin dihantar kepada pejabat pendakwa raya hari ini atau esok untuk tindakan selanjutnya," katanya. 

Dalam kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Teresa dihampiri seorang lelaki dan telur busuk yang berada dalam genggaman lelaki berkenaan pecah ketika mereka bersalam.

Artikel Sebelum

Artikel Lain