suria

Vietnam Giat Bantu Kesan MH370 - Duta

Sebuah helikopter pasukan keselamatan Vietnam mendarat di lapangan terbang Ca Mau selepas menjalankan operasi SAR pesawat MAS MH370. -foto AFP

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Vietnam sedang melakukan yang terbaik bagi membantu Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lalu.

Duta Vietnam ke Malayisa, Nguyen Hong Thao berkata, jawatankuasa keselamatan negaranya akan memberi perkembangan terkini mengenai hasil carian anggota keselamatan.

"Kami lakukan yang terbaik jika pesawat itu terhempas di perairan Vietnam. Malah setakat ini kami sudah menggerakkan 17 pesawat dan 11 kapal ke kawasan tompokan minyak dan bahan serpihak yang dipercayai ada kaitan dengan pesawat itu," katanya.

Tambah beliau, operasi SAR yang dilakukan pihak berkuasa Vietnam turut melibatkan beberapa pasukan keselamatan negara asing termasuk Amerika Syarikat (AS), Singapura dan China.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum ini dilaporkan bahawa bahan serpihan yang ditemui pasukan mencari Singapura kira-kira 100 kilometer di barat daya pulau Tho Chu, Vietnam sebenarnya tiada kaitan dengan MH370.

Selain itu Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman turut dilaporkan berkata bahawa pihak berkuasa masih meneliti sampel kesan tompokan minyak yang ditemui di kawasan perairan Vietnam itu.

Penerbangan MAS MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kiraa sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 tengah malam Jumaat.

Lebih daripada 60 jam selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200ER yang melalui Laut China Selatan itu, pasukan mencari dan menyelamat antarabangsa masih belum menemui sebarang jejak pesawat yang hilang itu.

MAS, MH370, Malaysia, Vietnam

Artikel Lain