suria

PM Umum Dana RM200 Juta Bantu Syarikat Bumiputera

Najib mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) di Parlimen, Kuala Lumpur pada Isnin.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan Dana Pengembangan Perniagaan Bumiputera sebanyak RM200 juta untuk membantu syarikat Bumiputera berteraskan teknologi memperluas perniagaan di peringkat antarabangsa. 

Perdana Menteri berkata buat permulaan, dana sebanyak RM25 juta telah diperuntukkan kepada Unit Peneraju Agensi Bumiputera (TERAJU), dan akan dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

"Dana ini menyediakan pinjaman bersifat fleksibel, tanpa cagaran dan tempoh bayaran balik enam tahun bermula pada tahun kedua selepas pembiayaan dikeluarkan.

"Namun begitu, setiap projek yang dicadangkan perlu mempunyai prospek keuntungan, dan kertas cadangan mestilah tertumpu kepada aktiviti pengembangan perniagaan," katanya.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), di Parlimen pada Isnin.

Najib berkata sektor perniagaan yang layak menerima pembiayaan ini terdiri daripada perniagaan berasaskan teknologi dalam bidang Bioteknologi, Teknologi Hijau, Minyak dan Gas, Elektrik dan Elektronik, Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), Teknologi Nano dan Teknologi Makanan.

Perdana Menteri turut mengumumkan tujuh lagi syarikat Bumiputera akan menerima geran Dana Mudahcara berjumlah hampir RM20juta untuk melaksanakan pelbagai projek. 

"Ia terdiri daripada Grand Ten Holdings Sdn Bhd, PEPS-JV (M) Sdn Bhd, Dimension Bid Sdn Bhd, Faiza Marketing Sdn Bhd, Mansalin Education Sdn Bhd, Al Ameen Development Sdn Bhd dan Majpadu Bricks Sdn Bhd."

"Syarikat-syarikat ini sudah menandatangani perjanjian bersama TERAJU bagi melaksanakan projek yang dicadangkan, yang dijangka menarik keseluruhan pelaburan swasta berjumlah RM128.7 juta dan berupaya mewujudkan hampir 700 peluang pekerjaan.

"Saya berharap dengan adanya kemudahan geran Dana Mudahcara ini, ada banyak lagi syarikat Bumiputera tampil kehadapan untuk melaksanakan projek berimpak tinggi serta berpotensi besar yang mampu menjana ekonomi negara, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat terutama dalam bidang pekerjaan," katanya.

Dana Mudahcara yang diperkenalkan pada Ogos 2012 dengan peruntukan RM2 bilion, merupakan geran untuk membiayai sehingga 15 peratus keseluruhan kos projek bernilai sekurang-kurangnya RM5 juta, dan mempunyai komponen infrastruktur, jentera dan peralatan.

Najib berkata sehingga Februari tahun ini, Dana Mudahcara meluluskan RM1.4 bilion untuk 132 projek melalui kerjasama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), TERAJU dan wilayah-wilayah ekonomi. 

Menurutnya ia melibatkan jumlah pelaburan swasta sebanyak RM15.12 bilion dalam sektor seperti minyak, gas & tenaga, pembangunan hartanah, pembinaan dan pemborongan serta peruncitan.

Katanya melalui program Dana Mudahcara yang disediakan TERAJU ini, syarikat Bumiputera yang terlibat dijangka menyediakan lebih daripada 23,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di negara ini. 

Najib berkata setiap inisiatif yang diumumkan itu mencerminkan keprihatinan dan usaha berterusan oleh kerajaan untuk menekankan pemerkasaan agenda Bumiputera sebagai agenda nasional yang penting.

"Saya yakin, langkah-langkah baharu dan sinergi antara agensi kerajaan ini akan memanfaatkan usahawan Bumiputera untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka," katanya.

PM, Najib, ICT, TERAJU

Artikel Berikut

Artikel Lain