suria

Keputusan Sampel Minyak Dijangka Petang Ini

Kesan tumpahan minyak yang dijumpai di kawasan 100 batu nautika dari pantai Tok Bali yang disyaki milik pesawat MH370 yang dilaporkan hilang di perairan Laut China Selatan.
PETALING JAYA: Hasil keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di Laut China Selatan semalam dijangka diperoleh selewat-lewatnya petang Isnin. 

Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia Ahmad Ridzuan Ibrahim berkata jabatan itu menerima sampel minyak tersebut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pukul 9.40 pagi ini untuk dianalisis.

Jabatan berkenaan, katanya, akan memberi keutamaan sepenuhnya dalam menganalisis 1.5 liter sampel minyak itu.

"Sampel itu akan melalui tiga prosedur bagi mengenal pasti sama ada bahan tersebut mengandungi kerosine (bahan bakar pesawat) atau tidak," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini, Isnin.

Ahmad Ridzuan berkata tiga prosedur utama akan dijalankan bertujuan memastikan sampel minyak tersebut mengandungi 'mineral oil' yang boleh diklasifikasikan sebagai bahan bakar pesawat.

Beliau berkata tiga prosedur itu membabitkan ujian pertama iaitu memastikan sama ada sampel tersebut mengandungi 'mineral oil', peringkat kedua mengenal pasti sama ada ketumpatan minyak itu 'light oil' atau 'heavy oil', dan peringkat terakhir ialah proses pemprofilan bagi menentukan kategori minyak (kerosine, diesel, atau petrol).

Pesawat MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang daripada radar, kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang, pada pukul 12.41 pagi Sabtu.
minyak, beijing, kl, mh370

Artikel Lain