suria

Vietnam Sahkan Tidak Temui Sebarang Objek, Serpihan

 PETALING JAYA: Sehingga kini masih belum dapat disahkan sama ada objek yang dilaporkan dilihat oleh tentera laut Vietnam mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang hilang.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pihak berkuasa Vietnam mengesahkan setakat ini pihaknya masih tidak menemui sebarang serpihan yang boleh dikaitkan dengan kehilangan pesawat itu.

"Kita masih belum menemui sebarang objek sah dari MH370 sekalipun ada pelbagai laporan menyatakan melihat beberapa objek.

"Tumpuan kini ialah kita mesti mencari pesawat, kita mesti mencari serpihan-serpihan pesawat.

"Kita melihat dari pelbagai sudut, apa yang mungkin berlaku dalam penerbangan. Kita mencari di setiap inci laut, setiap jam, setiap saat," katanya pada sidang media, di KLIA, Isnin.

Menurut beliau, kejadian ini juga telah menimbulkan kekeliruan dan keraguan di kalangan pakar di dalam dan luar negara.

Beliau menyifatkan kejadian ini sebagai misteri yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Objek yang dikatakan dilihat oleh tentera laut Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu. -foto WSJ

"Kehilangan pesawat dari radar sebabkan kekeliruan kepada ramai pakar di seluruh dunia termasuk pakar dalam negara.

"Kita perlukan bukti yang kuat dan kukuh, bahagian-bahagian pesawat akan membolehkan kita mengetahui apa yang telah berlaku," katanya.

Mengenai kesan tompokan minyak yang ditemui, beliau berkata masih menunggu keputusan kajian makmal yang dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Beliau berkata sebanyak 24 pesawat, 40 kapal dan beratus-ratus petugas telah dikerahkan untuk kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan berlaku rampasan seperti yang diperkatakan.

Jelasnya kedua-dua identiti lelaki yang menggunakan pasport curi itu sedang disiasat, namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya. 



dca, datuk azharuddin, mh370, mas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain