suria

Pembangkang Protes Hadir Perasmian Parlimen Tanpa Pakaian Rasmi

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kanan) yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh turut hadir pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-13 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Isnin. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang bersikap tidak profesional apabila hadir ke perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Parlimen ke-13 Dewan Rakyat tanpa memakai pakaian istiadat rasmi Ahli Parlimen.

Sebaliknya mereka hadir dengan hanya memakai kot hitam bertali leher bagi lelaki seperti hari persidangan biasa.

Tindakan kesemua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS itu adalah sebagai tanda protes mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan meliwat.

Tindakan pembangkang itu juga dilihat seolah-olah tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang berangkat merasmikan persidangan Parlimen pada Isnin.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ketika ditemui berkata tindakan mereka itu tidak menghina institusi Parlimen sebaliknya sebagai tanda protes terhadap sistem kehakiman negara.

"Kita tidak hina institusi ini, tapi ini hanya bagi menunjukkan tanda kita tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar," katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Sementara itu Ahli Parlimen Gelang Patah yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mempertahankan tindakan wakil rakyat pembangkang yang hadir memakaikan kot serba hitam pada istiadat perasmian tersebut.

"Perkara ini sudah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum ini sebagai bantahan terhadap salah guna sistem kehakiman negara," katanya.

Sebelum ini pakatan pembangkang turut dilaporkan akan memboikot sesi perbahasan pertama Dewan Rakyat pada Selasa juga atas tujuan yang sama.

Sebaliknya wakil rakyat pembangkang berkata mereka akan menghadiri perarakan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Anwar dikenakan hukuman lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, kira-kira enam tahun lepas.

Beliau dituduh meliwat Saiful yang ketika itu berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Parlimen, Pakatan Rakyat, Tian Chua

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain