suria

Kes Saman Mohamad Salleh Terhadap Nurul izaah Dicadang Guna Mediasi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mencadangkan supaya kes saman fitnah Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataan pembelian lapan unit kondominimum diselesaikan secara mediasi.

Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili Mohamad Salleh memberitahu media bahawa Hakim Hue Siew Kheng membuat cadangan itu selepas kes berkenaan disebut di dalam kamarnya pada Khamis.

Wan Shahrizal berkata plaintif dan defendan akan berbincang berhubung proses mediasi itu dan mahkamah menetapkan 17 April ini untuk pengurusan kes bagi memaklumkan perkembangan berhubung proses itu.

Beliau berkata sekiranya kedua-dua pihak berkenaan gagal mencapai penyelesaian, mahkamah menetapkan 4 hingga 6 Ogos untuk perbicaraan kes saman itu.

Pada 24 Dis tahun lepas, Mohamad Salleh, yang juga Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan syarikatnya itu memfailkan saman terhadap Nurul Izzah dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa Nurul Izzah telah membuat satu kenyataan berhubung pendedahan Pengarah Strategik PKR Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan beliau (Mohamad Salleh) membeli lapan unit kondominium di KL Eco City menggunakan dana awam yang disalurkan kepada NFCorp.

Kenyataan Nurul Izzah itu disiarkan di Malaysiakini TV pada 7 Mac 2012.

Mohamad Salleh turut mendakwa Nurul Izzah membuat kenyataan itu terhadapnya yang membawa maksud bahawa beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan wang NFCorp untuk membeli lapan unit kondominium bagi kegunaan peribadinya dan keluarga, bukan untuk syarikat itu.

Beliau mendakwa ekoran kenyataan fitnah itu, reputasi dan kredibilitinya sebagai seorang berpendidikan tinggi, ahli perniagaan dan suami kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tercalar.

Beliau menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang kesemua defendan menerbitkan kata-kata fitnah yang sama terhadapnya selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai.

salleh saman izzah, saman izzah

Artikel Lain