suria

Untuk Apa Pakai Topeng Tengkorak Ke Dalam Stadium Jika Bukan Untuk Buat Onar...

KHABARNYA, situasi di stadium yang melibatkan perlawanan di antara pasukan-pasukan gergasi Liga Super Malaysia kini semakin mengerunkan.

Ia ibarat kalau menang jadi abu, kalah jadi arang - satu suasana yang tidak membawa untung kepada mana-mana pihak.

Budaya tidak puashati di atas padang telah dibawa ke luar padang dan ini bukan sekadar melibatkan pemain dengan pemain serta pegawai pasukan dengan pemain tetapi telah merebak kepada sesama penyokong setia pasukan masing-masing.

Ada orang berkata, semua ini adalah petanda kerancakan bolasepak tempatan telah kembali semula. Penulis kata, ‘budak jahat’ dalam bolasepak tempatan yang telah kembali.

Liga Malaysia, suatu ketika dahulu pernah melalui zaman suram. Salah satu penyumbang utama kepada kesuraman tersebut ialah rasuah di kalangan pemain yang akhirnya mencetuskan rasa bosan dan meluat peminat-peminat setia liga ini. Mereka meninggalkan stadium.

Penyumbang kedua kepada kemalapan liga tempatan ialah kemunculan siaran langsung Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sejak EPL 'menjarah' negara kita, peminat bola lebih seronok melepak di kedai-kedai mamak dan juga kafe untuk menonton dan menyorak pasukan pujaan mereka. Suasananya juga lebih teruja, santai dan lebih penting selamat.

Pernah beberapa tahun dahulu penulis membawa anak-anak ke Stadium Shah Alam untuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia. Sekumpulan penyokong tegar telah membaling mercun ke serata arah stadium dan mencederakan mereka yang berada di bawah.

Sejak itu, penulis berasa khuatir untuk membawa anak-anak ke perlawanan bolasepak tempatan kerana khuatir keselamatan mereka dikompromi.

Penulis percaya, ramai ibu-bapa yang berperasaan sedemikian.

Bolasepak sepertimana acara sukan yang lain adalah acara untuk mempertandingkan kejaguhan dan beradu kekuatan dalam cara yang sopan dan penuh adab. Maknanya kalau menang pun biarlah dengan cara terhormat dan kalau kalah pun dengan cara terhormat.

Ia bukanlah satu acara kanibalisme yang mengizinkan sama ada yang menang atau yang kalah, mengonyoh satu sama lain.

Sejak akhir-akhir ini kegemilangan pesta bolasepak tempatan telah kembali menyengat dan sudah kelihatan akan keluar dari zaman kegelapannya.

Kita tidak menafikan, kesediaan dan kesanggupan pihak-pihak tertentu melabur kepada pasukan mereka dengan membawa masuk pemain-pemain ternama bersama bayaran gaji yang lumayan telah menarik semula minat kita semua untuk kembali menyokong Liga Malaysia. Tetapi bukan dengan cara yang berlaku sekarang.

Insiden pergaduhan di dalam terowong semasa tamatnya separuh masa kedua perlawanan di antara Johor Darul Takzim dan pasukan Terengganu - T-Team adalah satu contoh klasik yang mana kita semua peminat setia sukan bolasepak tidak mahu melihat ia berlaku.

Dan kemudian kurang lebih seminggu selepas itu - satu lagi insiden yang melibatkan pasukan yang sama - kali ini dalam perlawanan menentang Pahang, para peminat pula bertembung dan bercakaran sesama sendiri.

Penulis melihat golongan yang mencetuskan pergaduhan ini adalah terdiri daripada ‘budak jahat’ yang ada di antara mereka yang memakai topeng berwajah tengkorak, menutup muka mereka dengan kain atau sapu tangan dan helmet sepertimana yang terpampang dalam akhbar-akhbar tempatan.

Untuk apa masuk menyaksikan perlawanan bolasepak memakai topeng berwajah tengkorak kalau bukan dengan niat untuk membuat onar.

Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mentadbir urusan sukan bolasepak di negara ini wajib bertindak dengan segera untuk membendung budaya ini daripada menguasai stadium kita.

Masalah utama dengan golongan berwajib di negara kita ialah satu - lambat dalam mengambil tindakan, sangat lambat sehingga mencetuskan kegelisahan di kalangan khalayak.

Hak orang-ramai khususnya orang seperti penulis yang ingin membawa anak-anak ke stadium untuk menikmati satu perlawanan yang menyeronokan haruslah dikembalikan.

Dan kami hanya bersedia kembali semula ke stadium jika ‘budak jahat’ bolasepak ini diharamkan daripada memasuki stadium.

Artikel Lain