suria

Sederet 17 Rumah Kedai Di Sungai Siput Hangus Terbakar

Beginilah keadaan kebakaran yang berlaku.
Beginilah keadaan kebakaran yang berlaku.
Beginilah keadaan kebakaran yang berlaku.

SUNGAI SIPUT: Sederet 17 rumah kedai kayu hangus dalam kebakaran di Batu 1, Jalan Lintang di sini tengah malam Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Azmi Ahmad berkata kejadian kira-kira 12.20 tengah malam itu membabitkan antaranya kedai perabot, bengkel motosikal, kedai makan dan kedai bunga.

"Enam jentera dengan 34 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Kuala Kangsar, Ipoh dan Meru Raya dikerahkan ke tempat kejadian dan api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh tiga jam," katanya kepada pemberita di tempat kejadian pada Selasa.

Api berjaya dikawal daripada merebak ke premis bersebelahan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata bomba terpaksa mendapatkan bekalan air dari sungai berdekatan ekoran bekalan air yang disalurkan ke kawasan itu berada pada tekanan rendah.

Jumlah kerugian dianggarkan RM1.5 juta dan Unit Forensik sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran, kata Wan Azmi.

Seorang pemilik bengkel motosikal, S. Prakash Rao, 35, berkata dia terkejut setelah melihat bengkel yang diusahakannya sejak lapan tahun lepas musnah dalam kejadian itu.

"Di dalam bengkel ada 10 buah motosikal pelanggan dan kesemuanya tidak dapat diselamatkan, kerugian dianggarkan hampir RM100,000," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional Datuk Rusnah Kassim berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan pemilik tanah untuk membangunkan semula rumah kedai yang musnah dalam kejadian itu.

"Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sedang membangunkan pekan-pekan kecil. Kita akan minta pihak PKNP membangunkan semula kawasan itu dengan menyediakan rumah kedai untuk mangsa," katanya ketika melawat mangsa kebakaran.

Dalam lawatan itu beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 dan barangan keperluan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri kepada setiap mangsa. -BERNAMA

Artikel Lain