suria

Doktor Falsafah Lawan Anak Presiden Tentukan Jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat

Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob
Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob
Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob

PETALING JAYA: Calon jawatan timbalan ketua Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob sedar pencabarnya untuk jawatan itu bukanlah calang-calang orang.

Orang yang dimaksudkannya itu adalah anak kepada presiden parti iaitu Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Bagaimanapun beliau yakin sumbangannya dalam parti akan turut dilihat dan diambil kira oleh para perwakilan dalam memilih kepimpinan Dewan itu nanti.

Dr Raja Ahmad Iskandar, 39, akan berhadapan saingan satu lawan satu dengan Muhammad Khalil pada pemilihan Dewan Pemuda yang akan berlangsung pada Khamis.

Walaupun beliau bukan anak seorang pemimpin PAS yang dikenali ramai atau pun bukan dari kalangan ulama tetapi Dr Raja Ahmad juga mempunyai kelayakan yang menarik - sama ada dari sudut akademik mahupun kedudukan dalam Dewan Pemuda itu sendiri.

Beliau kini adalah naib ketua Pemuda PAS Pusat dan juga ketua Pemuda PAS Perak.

Itu memberi kelebihan kepadanya dari sudut rangkaian dan juga gerak kerja.

Malah beliau optimis komitmennya bersama Dewan Pemuda PAS sebelum ini merupakan sandaran terbaik kenapa beliau menawarkan diri untuk kerusi timbalan.

"Saya sedar faktor Muhammad Khalil (sebagai anak Presiden) sedikit sebanyak mempunyai impak keatas perwakilan.

"Tapi saya juga yakin perwakilan akan melihat keutamaan-keutamaan lain selain diri individu itu sendiri," katanya kepada mStar Online.

Mengulas mengenai persepsi wujudnya pertembungan di antara dua kumpulan iaitu ulama dan profesional dalam pemilihan pucuk pimpinan Pemuda kali ini, beliau berkata PAS sebenarnya tidak meletakkan garis pemisah di antara dua kumpulan ini.

Ini katanya hanyalah gambaran luar semata-mata.

"Ini satu lagi persepsi yang digambarkan oleh massa atau mereka di luar PAS. Tapi dalam PAS kita tidak mewujudkan dikotomi (pemisahan antara dua kelompok) kerana apa yang menjadi sandaran dan kayu pengukur ialah komitmen, kerja kuat dan pengalaman tanpa mengambil kira siapa mereka itu sama ada seorang ustaz atau seorang profesional.

"Kalau sehebat manapun latar belakang akademiknya atau sehebat manapun status profesionalnya, tapi kalau tak boleh beri komitmen kepada parti, tidak boleh fokus untuk laksanakan kerja parti...perwakilan tetap tidak akan menerima mereka," katanya.

Dr Raja Ahmad Iskandar bagaimanapun menyerahkan kepada kematangan perwakilan untuk membuat keputusan mukmamad.

"Saya tidak khuatir dengan polemik yang dimainkan oleh pihak tertentu," katanya.

PROFIL DR RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAAKOB

> Umur: 39.

> Status: Berkahwin. Seorang isteri, empat orang anak.

> Pendidikan:

- Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dan Pengajian Islam, UIAM.

- Ijazah Sarjana Pengurusan Maklumat, UiTM.

- PhD dalam bidang pengurusan perniagaan daripada Universiti Manchester, UK.

> Jawatan dalam PAS:

- Ketua Pemuda PAS Perak.

- Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

Artikel Lain