suria

Najib Mahu Masyarakat India Terus Bekerjasama Dengan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menggesa masyarakat India untuk terus bekerjasama dengan kerajaan, berdasarkan kepercayaan yang dipegang sejak ia mula terjalin.

Perdana Menteri berkata kerjasama efektif ini akan terus memastikan kualiti hidup lebih baik untuk masa kini dan generasi akan datang kerana kerajaan tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam kemajuan dan pembangunan negara.

"Saya mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada masyarakat India bagi kepercayaan mereka dan sokongan kepada kami untuk terus memimpin negara.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kami sedar bahawa lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk memastikan inisiatif-inisiatif dan perkhidmatan kami sampai kepada setiap orang India di Malaysia, yang memerlukan bantuan.

"Kami juga komited untuk menunaikan janji yang kami buat kepada masyarakat India dalam pilihan raya umum ke-13," katanya dalam perutusan Deepavali beliau yang dimuatkan dalam blog www.1Malaysia.com.my.

Bagi membolehkan kerajaan menunaikan janji itu secara efektif, Najib turut menggesa kalangan pemimpin masyarakat itu, badan bukan kerajaan India dan pihak berkepentingan lain untuk bekerja bersama-sama dengan beliau dan kerajaan.

Beliau menegaskan kerajaan mempunyai banyak lagi kerja untuk dilakukan bersama-sama.

Oleh kerana Deepavali melambangkan kemenangan kebaikan ke atas kejahatan apabila cahaya menerangi kegelapan, beliau berkata perayaan itu juga merupakan masa bagi semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersyukur dengan "cara hidup kita dan pencapaian-pencapaian kita'.

Beliau berkata perayaan Deepavali tahun ini amat istimewa bagi rakyat Malaysia, terutama masyarakat India, kerana mereka telah memilih untuk terus menerangi kehidupan mereka menerusi sebuah kerajaan yang dapat memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan stabil.

"Inilah kemenangan kepada 'nambikei' (kepercayaan) antara kerajaan dan masyarakat India dalam usaha kami untuk meningkatkan kehidupan masyarakat India.

"Ia petanda bahawa inisiatif-inisiatif transformasi kami bagi tempoh empat tahun lepas telah diterima baik oleh masyarakat ini," katanya.

Najib berkata beliau juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Deepavali Vaalthukal' kepada semua penganut Hindu di Malaysia.

"Mari kita bersama-sama menyertai penganut agama Hindu dalam menyambut perayaan ini dengan keyakinan bahawa ia akan membawa cahaya dan harapan kepada semua rakyat Malaysia," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain