suria

PKFZ: Dr Ling Liong Sik Dilepas Dan Dibebaskan Daripada Tuduhan Tipu Kerajaan

Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik memberikan isyarat senyap kepada pemberita semasa beredar meninggalkan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada Jumaat selepas mendengar keputusan kes berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). -fotoBERNAMA
Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik memberikan isyarat senyap kepada pemberita semasa beredar meninggalkan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada Jumaat selepas mendengar keputusan kes berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). -fotoBERNAMA
Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik memberikan isyarat senyap kepada pemberita semasa beredar meninggalkan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada Jumaat selepas mendengar keputusan kes berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas melalui perbicaraan selama tiga tahun, akhirnya bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik hari ini dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan menipu kerajaan berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Bekas presiden MCA berusia 70 tahun ini kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh ketika keputusan itu diumumkan, manakala beberapa hadirin bertepuk gembira.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi berkata pihak pendakwa berjaya menimbulkan keraguan munasabah bagi semua tuduhan yang dikenakan terhadap Dr Ling.

Pada 29 Julai 2010, beliau dikenakan pertuduhan itu dan diperintah membela diri pada 9 Mac tahun lepas.

Dr Ling, yang menyandang jawatan Menteri Pengangkutan dari 7 Jan 1986 hingga 25 Mei 2003, menutup kesnya pada 20 Jun tahun ini setelah memanggil sembilan saksi, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam penghakiman bertulis setebal 42 muka surat, Ahmadi berkata tidak mungkin Dr Ling dapat menyembunyikan penilaian yang dibuat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) daripada Kabinet, tanpa mengetahuan pegawai di Kementerian Pengangkutan (MOT).

"Jelas sekali, tertuduh hanya menandatangani apa yang diserahkan kepadanya oleh para pegawainya dan kemudian membuat pembentangan kepada Kabinet. Para pegawai yang menyediakan dua nota daripada tertuduh mengesahkan kandungannya adalah betul.

"Tiada bukti diberikan mana-mana pegawai berkenaan bahawa mereka telah memaklumkan kepada tertuduh bahawa terdapat peninggalan material atau kesilapan atau maklumat mengelirukan dalam dua barang kes (nota) itu," katanya.

Menurut Ahmadi tiada bukti diberi oleh mana-mana mereka (pegawai) bahawa mereka menyedari wujud peninggalan material, kesilapan atau maklumat mengelirukan dalam barang kes berkenaan dan para pegawai terbabit sudah pasti mengetahuinya kerana mereka terlibat secara rapat dan aktif dalam keseluruhan proses itu.

"Saya berpendapat tertuduh tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi sebarang kesilapan, peninggalan, penyembunyian, maklumat mengelirukan atau ketidaktepatan, sama ada yang dilakukan dengan sengaja atau sebaliknya, yang dikemukakan dalam dua barang kes berkenaan, walaupun beliau menandatangani dua barang kes itu. "Sekiranya terdapat demikian, maka kesalahan perlu ditujukan kepada para pegawai MOT, yang merangka dan menyediakannya. Hakikatnya ialah, ketika itu, tertuduh bukanlah 'numero uno' di kementeriannya. Beliau hanyalah 'transporter'," kata beliau.

Ahmadi berkata dalam keterangannya, Dr Mahathir, yang pernah menjadi Menteri Kewangan, berkata angka RM1,088 bilion merupakan harga pembelian tanah Pulau Indah, manakala kos keseluruhan projek berkenaan ialah RM2,440 bilion, termasuk faedah seperti yang terkandung dalam minit mesyuarat Kabinet.

Jelas beliau, minit mesyuarat Kabinet juga menyebut angka RM25 sebagai kos tanah berkenaan bagi setiap kaki persegi.

"Dr Mahathir berkata para pegawai MOF (Kementerian Kewangan) terlibat dalam semua peringkat proses pembelian tanah berkenaan dan dalam mengira kos keseluruhan projek PKFZ sejak peringkat permulaannya. "Saya berpedapat, para pegawai MOF tidak akan sewenang-wenangnya menetapkan angka itu, tanpa merujuk kepada penilaian JPPH terhadap tanah terbabit.

"Oleh itu, adalah jelas bahawa surat daripada JPPH bertarikh 29 Sept 2000 kepada MOT bukan hanya untuk kegunaan MOT, tetapi juga semua agensi lain yang terlibat dalam urusan pembelian tanah Pulau Indah, khususnya MOF, yang kedudukannnya bukan sahaja sebagai sumber dana atau sebagai penasihat bagi perkara berkaitan kewangan, tetapi juga untuk mengira jumlah kos projek berkenaan.

Artikel Berikut