suria

Trio Naib Presiden Mampu Teruskan Agenda Transformasi - Veteran Umno

KUALA LUMPUR: Gandingan tiga penyandang Naib Presiden, yang mengekalkan jawatan mereka pada pemilihan parti semalam, diyakini dapat meneruskan pelaksanaan agenda transformasi dalam Umno, demikian menurut beberapa anggota veteran parti pada Ahad.

Timbalan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Ahmad Nordin Md Amin berkata perwakilan memilih semula Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana mereka yakin trio itu boleh membawa arus perubahan secara berterusan.

Sambil meminta semua pihak menghormati keputusan itu, beliau berkata pemilihan itu juga memantapkan lagi parti terutama dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kekuatan Umno di seluruh negara akan dimantapkan...ini dapat menjamin Barisan Nasional untuk meraih kemenangan PRU14 nanti," katanya kepada Bernama hari ini Pada pemilihan itu, Ahmad Zahid, Mohd Shafie dan Hishammuddin masing-masing memperoleh 185, 174 undi dan 100 undi bahagian untuk mengekalkan gandingan mereka sebagai naib presiden Umno bagi penggal 2013-2016.

Seramai 146,500 perwakilan daripada sejumlah 191 Bahagian Umno mengundi mengikut sistem 'Electoral College' bagi memilih tiga Naib Presiden baharu.

Setiap seorang daripada tiga calon yang memperoleh bilangan undi terbanyak dari perwakilan bahagian dikira meraih satu undi daripada bahagian berkenaan.

Ahmad Nordin juga menasihati calon-calon yang tewas pada pemilihan Umno supaya terus berbakti kepada Umno.

"Yang pasti, khidmat mereka masih diperlukan dan mereka ini juga nama-nama yang memperkuat parti, pastinya jasa mereka takkan dilupakan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata para perwakilan memilih Ahmad Zahid, Mohd Shafie dan Hishammuddin kerana mahu melihat kesinambungan perjuangan yang dibawa mereka dalam agenda transformasi Umno.

"Saya melihatnya satu keputusan yang berwawasan dan bijaksana. Veteran Umno telah pun menjangkakan mereka akan kekalkan jawatan berdasarkan faktor itu," katanya.

Mustapha berkata sebagai anggota Umno, beliau berpendapat mereka merupakan pasukan yang baik untuk bergandingan dengan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjamin kemenangan BN pada PRU14.

"Bagi saya ketiga-tiganya satu 'team' yang baik untuk menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam usaha memastikan kelangsungan Umno," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan lebih gigih untuk mengukuhkan Umno. Mustapha berkata Ahmad Zahid, sebagai Pengerusi Latihan Umno, diharap dapat mempergiat program latihan untuk anggota-anggota Umno.

"Mohd Shafie yang menjaga aspek keanggotaan parti diharap dapat menyusun strategi menarik lebih ramai orang muda menyertai Umno manakala Hishammuddin pula yang berperanan dalam hal perlembagaan parti, perlu membuat penambahbaikan terhadap kelemahan yang ada terutamanya disiplin anggota," katanya.

Bagi yang kalah dalam pemilihan parti, Mustapha meminta mereka tidak berkecil hati kerana tiada istilah 'kalah-menang' dalam erti kata semangat perjuangan untuk Umno. "Saya yakin (Tan Sri) Isa Samad, (Datuk) Mukhriz Mahathir dan (Tan Sri) Ali Rustam boleh terima keputusan ini sebab bagi saya mereka sayang kepada Umno," katanya.

Pengerusi Veteran Umno Kelantan Datuk Rozali Isohak pula berkata keputusan mengekalkan status quo bagi jawatan Naib Presiden itu menunjukkan perwakilan yakin dengan rekod kerja ketiga-tiga naib presiden itu.

"Saya sebagai veteran Umno pun merasakan mereka ini tidak memberi banyak masalah dalam menerajui kempimpinan tertinggi parti," katanya.

Menurutnya Ahmad Zahid, Mohd Shafie dan Hishammuddin sepakat dan boleh bekerjasama dengan baik untuk membawa manfaat kepada anggota parti khususnya dan rakyat amnya.

Selain itu, Rozali berharap calon yang tewas dapat mengekalkan perpaduan parti dan bekerjasama dengan pemimpin yang dipilih demi kepentingan serta masa depan Umno. - BERNAMA

Artikel Lain