suria

Undang-Undang Sivil Diperlukan Elak Perkahwinan Sama Jenis - Jakim

PETALING JAYA: Kemungkinan amalan perkahwinan sama jantina di negara jiran, Thailand dibenarkan adalah sesuatu yang membimbangkan kerana ia secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada Malaysia, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha memberitahu The Star Online bahawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu mengambil tindakan tegas dan berkongsi pandangan mereka untuk membendung masalah ini dengan "mencipta undang-undang sivil tertentu" mengenai perkara itu.

Apabila ditanya mengenai pendirian Jakim mengenai perkahwinan gay di kalangan homoseksual Malaysia di negara-negara lain, beliau berkata perkara itu adalah sukar untuk dikesan dan dikawal.

"Walaupun Malaysia tidak mengiktiraf perkahwinan sama jantina, kita tidak dapat menghalang ia daripada menular, terutama apabila tidak ada undang-undang tertentu termasuk untuk semua kaum dan agama untuk menangani masalah ini," katanya.

Di Thailand, draf undang-undang yang menawarkan pasangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendapat hak-hak perundangan yang sama sepertimana pasangan heteroseksual dilaporkan sedang disiapkan.

"Di negara-negara ASEAN yang lain seperti Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia, isu ini telah mendapat kedudukan yang lebih. Komuniti-komuniti ini telah membuat usaha dan provokasi untuk mendapatkan pengiktirafan di bawah alasan 'hak asasi manusia' dan pergerakan mereka sangat terperinci," katanya lagi.

Walaupun Malaysia tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal negara asing, Othman berkata, apa yang diperjuangkan golongan LGBT sebagai hak asasi manusia akan akhirnya menjadi "barah" kepada masyarakat.

"Malaysia tidak mengiktiraf LGBT. Pengamalnya telah melakukan satu kesalahan yang serius seperti yang dinyatakan dalam Undang-undang Syariah negeri-negeri," katanya.

Beliau menambah, Jakim telah membuat banyak usaha sejak 2011 untuk mendekati kumpulan ini, termasuk program mukhayyam (perkhemahan), iftar (berbuka puasa), kelas agama dan kaunseling.

"Orang-orang ini juga mencari jalan keluar, jadi kita mempunyai pertubuhan bukan kerajaan yang menjalankan terapi dan kaunseling untuk menangani masalah mereka. Penyelesaiannya adalah untuk kembali kepada ajaran Islam," ujarnya lagi.

Artikel Lain