suria

AirAsia X Kaji Semula Laluan Eropah, India - Tony Fernandes

Tony Fernandes. Foto AFP
Tony Fernandes. Foto AFP
Tony Fernandes. Foto AFP

KUALA LUMPUR: AirAsia, melalui unit penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X, akan mengkaji kemungkinan menyambung semula laluan-laluan ke Eropah dan India yang diberhentikan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, berkata syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu akan memasuki semula India dengan memperkenalkan destinasi-destinasi baharu untuk meliputi keseluruhan negara yang penduduknya berjumlah 1.2 bilion orang itu.

Beliau berkata, India merupakan pasaran hebat bagi AirAsia selama ini, kerana syarikat ini dianggap sebagai jenama kukuh di negara itu, terutamanya di wilayah selatan.

"Kami belum meliputi seluruh India. Potensi pertumbuhan memang ada," katanya kepada pemberita selepas pelancaran prospektus AirAsia X pada Isnin.

Syarikat penerbangan itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 10 Julai ini.

Fernandes, tokoh di sebalik kejayaan mendadak AirAsia sejak penubuhannya 11 tahun lalu, pernah menulis dalam twitternya bahawa AirAsia X akan menyambung semula laluan KL-New Delhi dan KL-Mumbai tidak lama lagi.

Syarikat itu menghentikan penerbangan ke Mumbai dan New Delhi pada 31 Januari, 2012 selepas mengadakan penerbangan ke kedua-dua destinasi sejak 2010, yang menurutnya, disebabkan oleh kos kendalian yang tinggi ketika itu.

Dipercayai laluan baru itu akan bertindak sebagai laluan pengantara bagi penceburan terbarunya ke India, memandangkan peraturan penerbangan tempatan tidak membenarkan syarikat penerbangan baharu beroperasi di laluan antarabangsa dalam tempoh lima tahun pertama ia beroperasi.

Laluan itu juga boleh menjadi penghubung ke kawasan utara India bagi AirAsia India, iaitu usaha sama 49:30:21 antara AirAsia, Tata Sons dan Telstra Tradeplace milik pelabur India, Arun Bhatia, yang akan beroperasi tidak lama lagi.

Syarikat penerbangan itu, yang akan berpangkalan di Chennai dan dijadualkan beroperasi menjelang akhir tahun, akan menampung keperluan bandar-bandar Tier-2 dan Tier-3.

Sementara itu, kata Fernandes, memandangkan AirAsia X akan menerima penyerahan pesawat Airbus A350-900 dalam beberapa tahun akan datang, syarikat penerbangan jarak jauh itu mungkin memulakan penerbangan ke Eropah dan berkemungkinan menyambung semula laluan ke London dan Paris yang diberhentikan pada Januari 2012.

"London merupakan perkembangan yang amat penting bagi syarikat ini secara peribadinya kepada saya. Ia melonjakkan penjenamaan syarikat kami.

"Sekarang ini, kami tidak mempunyai pesawat yang sesuai untuk membuat penerbangan ke sana. Bila kami menerima pesawat A350, kami mungkin mempertimbangkan untuk ke sana semula.

"Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada kesesuaian dengan rancangan dan model perniagaan AirAsia X," tegas beliau.

AirAsia X mempunyai tempahan pasti sepuluh pesawat A350-900, yang akan diserahkan selepas 2017. - BERNAMA

Artikel Lain