suria

Bot Karam: Polis Dan Majlis Keselamatan Negara Bermesyuarat Isnin

KUCHING: Jawatankuasa mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres 'Kawan Mas' yang karam di Giam Bungan, Sungai Rajang dekat Belaga minggu lepas, akan bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini pada Isnin, bagi membincangkan kaedah terbaik menaikkan bot itu.

Ketua Polis Daerah Belaga, Bakar Sebau berkata, usaha mengapungkan bot itu perlu disambung semula selepas ditangguh sejak Jumaat lepas.

"Selepas 13 hari, usaha menarik dan mengapungkan bot itu masih menemui jalan buntu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa di permukaan sungai itu masih berlangsung.

"Sehingga petang ini, jumlah mayat ditemui kekal satu, 213 terselamat dan dua masih hilang," katanya.

Pada Jumaat lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak Tan Sri Alfred Jabu berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan daripada MKN untuk mengenal pasti penyelam mahir daripada Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Marin, selain mengalu-alukan pakar menyelam asing bagi membantu usaha tersebut.

Arus Sungai Rajang yang deras dan penglihatan di dalam air yang kabur antara faktor yang menghalang usaha mengikat kabel pada bot karam itu untuk ditarik dan diapungkan menggunakan dua buah jentolak.

Usaha menaikkan bot itu menggunakan tongkang juga gagal. - BERNAMA

Artikel Lain