suria

Tiada Laporan Elektrik Terputus - SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan bahawa tidak wujud dakwaan bekalan elektrik terputus pada 5 Mei lalu dan mendakwa penganjuran perhimpunan haram oleh pembangkang hanya bertujuan mencemar nama suruhanjaya itu.

Malah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata perhimpunan yang dikenali sebagai 'Black505' merupakan satu penghinaan terhadap sistem pilihan raya demokrasi di negara ini.

Tambah beliau SPR sedang mendapatkan nasihat perundangan bagi membolehkan pihaknya bertindak terhadap mereka yang mencemar nama suruhanjaya itu untuk kepentingan politik murahan.

Beliau membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai 'fanatik anti-demokrasi' dan mereka yang menyokong perjuangan mereka sebagai 'aktivis penentang golongan berkuasa' serta golongan muda yang tidak memahami undang-undang.

Wan Ahmad berkata demikian bagi mengulas mengenai penganjuran perhimpunan oleh pembangkang di seluruh negara bagi membantah keputusan PRU-13 kerana didakwa berlakunya penipuan.

Selain itu Wan Ahmad turut memberi amaran kepada pembangkang supaya menghentikan perhimpunan haram kerana tidak ada kejadian seperti itu berlaku pada hari mengundi.

Tambah beliau ejen pilihan raya yang dilantik SPR turut menafikan dakwaan tersebut.

"Kami mempunyai banyak saksi di pusat-pusat mengundi, termasuk NGO yang berada di sana sebagai pemerhati.

"Tiada seorang pun daripada mereka melaporkan apa-apa kejadian bekalan elektrik terputus," katanya.

Menyeru semua pihak menghormati keputusan yang dibuat oleh pengundi selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi, Wan Ahmad berkata mereka yang mempertikaikan keputusan pilihan raya hendaklah memfailkan petisyen di mahkamah dan bukannya membantah melalui perhimpunan jalanan.

"Sebagai penggubal undang-undang, mereka perlu tahu kaedah-kaedah undang-undang.

"Apabila memfailkan petisyen, mereka juga perlu menyediakan bukti untuk menyokong tuntutan mereka," katanya.

Beliau berkata pemimpin pembangkang tidak boleh sewenang-wenangnya menolak keputusan yang dibuat oleh pengundi melalui peti undi dalam pilihan raya bebas dan adil.

Pada PRU-13, Barisan Nasional (BN) memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu pakatan pembangkang memperoleh 89 kerusi iaitu masing-masing DAP (38), PKR (30) dan PAS (21).

Artikel Lain