suria

Lantikan Pegawai Kontrak Ke Jawatan Tetap Bergantung Kepada Skim Kontrak - SPA

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam berkata pelantikan pegawai kontrak ke jawatan tetap bergantung kepada skim kontrak itu sendiri yang berbeza mengikut jawatan.

Beliau berkata antara yang diberi pertimbangan termasuklah sama ada ia berasaskan 'kontrak perkhidmatan' iaitu pelantikan mengikut kepakaran dan tidak mengikut skim atau 'kontrak perkhidmatan' yang mempunyai skim perkhidmatan tersendiri.

"Selain itu ada kontrak yang mengikut musim atau projek, ada yang gaji hari, ada yang (kontrak) (setiap) tiga bulan," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi dengan pegawai lantikan secara kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini, Jumaat.

Sebelum ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata penjawat awam berstatus kontrak yang telah lama berkhidmat perlu diserapkan ke jawatan tetap secepat mungkin tanpa perlu diadakan sebarang kajian.

Kenyataan itu dibuat susulan penubuhan Jawatankuasa Mengkaji Masalah Pegawai-pegawai Lantikan Kontrak yang ditubuhkan SPA baru-baru ini dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah berkaitan dengan taraf perkhidmatan mereka.

Mahmood berkata SPA dengan kerjasama pelbagai pihak tidak bermaksud untuk membuat kajian, sebaliknya cuba membantu menyelesaikan masalah melibatkan pegawai-pegawai kontrak.

"Kita akan lihat dan bantu apa yang dibolehkan peraturan undang-undang kita, misalanya isu gaji permulaan, peluang kenaikan gred dan bagaimana lanjutan kontrak boleh dibuat serta merta," katanya.

Mengenai dakwaan kekosongan jawatan di sesuatu jabatan yang tidak diisi pegawai kontrak sebaliknya diberikan kepada 'orang luar', Mahmood menafikan perkara itu.

Katanya pegawai kontrak sentiasa diutamakan untuk mengisi sebarang kekosongan jawatan melainkan ia tidak setaraf dengan kelulusan pegawai terlibat.

"Kalau pegawai kontrak memohon jawatan tetap, kita akan utamakan. Tapi masalahnya ada yang tak nak pindah, tak nak keluar jabatan kerana sayang jabatan, kerana sudah berkhidmat 20 tahun, 30 tahun," katanya. BERNAMA

Artikel Lain