suria

80,000 Bekas Tentera Tidak Berpencen Terima SVTB1M Setakat Ini

MELAKA: Kira-kira 34.2 peratus bekas tentera tidak berpencen di seluruh negara telah menerima Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) setakat ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sekretariat Veteran Tentera Tidak Berpencen, Mej Jen Datuk Rohisha Yahya berkata angka itu meliputi 80,000 daripada 234,000 bekas tentera yang layak menerima sumbangan berkenaan.

"Baki penerima yang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM234 juta itu akan diagih secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan berkenaan di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, Ahad.

Majlis dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Rohisha berkata di Melaka, sebanyak 3,000 bekas anggota tentera tidak berpencen layak menerima sumbangan itu.

Pada pembentangan Belanjawan 2013 lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersetuju memberi sumbangan 'one-off' RM1,000 seorang kepada bekas tentera tidak berpencen.

Pembayaran dilakukan sejak awal bulan ini selepas permohonannya dibuka pada November lepas. - BERNAMA

Artikel Lain